Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Seremban: Seorang lelaki, Mohd Shafiq Mohd Rizam, 20, didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini, semalam, atas dua pertuduhan iaitu merogol dan memiliki sebilah kerambit pada Rabu minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh tidak mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan ketika dibaca jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Shafiq dituduh merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di dalam bilik sebuah di rumah di Jalan Nuri, Taman Paroi Jaya, jam 4 petang pada 11 Mac lalu dan melakukan kesalahan Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan itu dia boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun atau maksimum 30 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farid Mohd Mokhtar mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan dia hanya bekerja membantu datuknya berniaga dengan pendapatan RM35 sehari.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 4:49 AM