Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 16 pada November tahun lalu.

Tertuduh berusia 47 tahun berhadapan dakwaan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa penjara tidak kurang lapan tahun, tidak lebih 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh merogol anak kandungnya yang ketika kejadian berusia 16 tahun enam bulan.

Kesalahan itu dilakukan pada 12 November lalu, di sebuah rumah di Kampung Kendong Baru Kota, Rembau.

Timbalan Pendakwa Raya Goh Hsiao Tung tidak menawarkan jaminan memandangkan mangsa anak kandung tertuduh dan sekiranya diberikan jaminan dikhuatiri akan mengganggu mangsa.

TERTUDUH ketika hadir di Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Azrul Edham
TERTUDUH ketika hadir di Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Azrul Edham

Tertuduh dalam rayuannya memohon maaf dan memberitahu ketika kejadian dia mabuk hingga melakukan perbuatan tidak baik.

Hakim tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 6 Mac ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan dibelasah oleh bapanya menggunakan pelbagai objek sehingga mendapat 12 jahitan pada kepala dan dikejarkan ke Hospital Tampin.

Kejadian itu dipercayai disebabkan bapanya tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa mengadu kepada teman wanita bapanya yang dia dirogol lelaki itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 11:52 AM