Hidayatidayu Razali

Pasir Mas: Seorang penoreh getah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap empat pertuduhan merogol adik iparnya yang juga orang kurang upaya (OKU) mental, pada 2018 dan Julai tahun ini.

Pengakuan itu dibuat tertuduh berusia 54 tahun selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol adik iparnya yang ketika kejadian pada 2018 berusia 15 tahun di sebuah rumah di Tanah Merah pada jam 6.30 petang, hujung Oktober 2018 dan mengetahui tentang kecacatan mental mangsa.

Pertuduhan kedua hingga keempat, lelaki itu didakwa merogol mangsa sama yang kini berusia 18 tahun, pada Julai tahun ini.

Seorang penoreh getah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, terhadap empat pertuduhan merogol adik iparnya yang juga orang kurang upaya (OKU) mental di sebuah rumah di Tanah Merah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Seorang penoreh getah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, terhadap empat pertuduhan merogol adik iparnya yang juga orang kurang upaya (OKU) mental di sebuah rumah di Tanah Merah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Kesalahan itu dilakukan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah masing-masing pada 10.30 pagi pada 1 Julai 2021; 9 pagi (2 Julai 2021) dan 10 pagi (7 Julai 2021).

Empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (k) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun sehingga 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar tidak menawarkan sebarang jaminan dengan mengambil kira hubungan mangsa dengan tertuduh iaitu abang ipar dan adik ipar.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk memberi jaminan kepadanya atau sebaliknya.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 15 Ogos ini sebagai tarikh untuk jatuh hukum.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 3:27 PM