Oleh Ibrahim Isa

Pagoh: Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak meletakkan calon bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Kelantan tidak bermakna parti berkenaan tidak akan bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan lain pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan untuk tidak bertanding di DUN Chempaka diambil berdasarkan faktor keadaan di situ.

Beliau berkata, PAS seharusnya bersyukur kerana tiada persaingan pada PRK di DUN Chempaka dan pihaknya berharap parti berkenaan akan memperoleh kemenangan.

“Kita (BN) tahu apa yang patut dilakukan dan saya berpendapat orang lain tidak perlu memberi nasihat memandangkan UMNO adalah parti komponen terbesar dalam BN,” katanya pada sidang media di Program Santai Fiesta Karnival Muzik Belia Pagoh di Dataran AgroBazar, Pusat Bimbingan Usahawan Pagoh, di sini, semalam.

Mengulas berkaitan PRK di Permatang Pauh, Muhyiddin berkata, BN hanya akan membuat keputusan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman berkaitan pilihan raya itu.

“Tidak elok sekiranya kita melangkau fungsi SPR kerana PRK adalah di bawah tanggungjawab suruhanjaya berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:14 AM