Oleh Ahmad Saufi Mansor

Langkawi: Barisan Nasional (BN) menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat keputusan sama ada perlu meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka susulan kematian penyandangnya yang juga bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, Khamis lalu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata, pada masa sama beliau akan mengambil kira pandangan daripada Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang meminta parti berkenaan tidak meletakkan calon pada PRK itu kelak.

Menurutnya, Majlis Tertinggi (MT) BN sudah mengadakan perbincangan secara umum mengenai PRK DUN Chempaka di Kelantan dan Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang, baru-baru ini, sekali gus mempunyai beberapa pandangan.

“Pada masa ini, kita (BN) fikir masih terlalu awal untuk menjelaskan pendirian, (kerana) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun masih belum membuat apa-apa pengumuman dan tidak wajar untuk kita membuat keputusan lebih awal.

“Kita akan berbincang dengan Pengerusi BN negeri seperti Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) bagi mendapatkan pandangan mereka, begitu juga Parti Gerakan di Pulau Pinang untuk membuat persiapan sewajarnya.

“Kalau (kepemimpinan BN) umum akan menyertai PRK berkenaan, maka kita sudah bersiap sedia, tetapi sama ada bertanding (dalam PRK) atau tidak, kita akan umum bila masa sesuai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 8:38 AM