ANGGOTA UPP dan PDRM Gerik memeriksa rokok seludup yang dirampas di Jalan JRTB Gerik-Jeli.
ANGGOTA UPP dan PDRM Gerik memeriksa rokok seludup yang dirampas di Jalan JRTB Gerik-Jeli.
Oleh DJ Dolasoh

Gerik: Seorang lelaki melarikan diri ke dalam hutan berhampiran dan meninggalkan van dipandu yang sarat dengan 2,350 karton rokok seludup bernilai RM300,000, selepas dikepung pihak berkuasa di Kilometer 57, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Kelantan dekat sini.

Dalam kejadian jam 1 pagi Sabtu lalu itu, suspek yang memandu van Mercedes-Benz dari Kelantan ke Gerik secara tiba-tiba membuat pusingan U selepas menyedari diekori Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perak.

Komander UPP Perak Asisten Superintendan Kasturi Othman berkata, suspek melarikan diri dan enggan memberhentikan kenderaan selepas diarahkan berbuat demikian sehingga memaksa penguat kuasa menghimpit kenderaan suspek.

Bagaimanapun, katanya, tindakan itu gagal menghentikan kenderaan suspek sebelum suspek yang dikejar lima kilometer memandu kenderaan memasuki laluan kecil di sebelah kanan jalan besar.

“Laluan berkenaan bagaimanapun berpagar di penghujungnya dan suspek melompat keluar dari van tanpa menutup lampu dan enjin sebelum menyusup masuk ke kawasan hutan bagi mengelakkan ditangkap.

“Pemeriksaan terhadap van berkenaan menemui 2,350 karton rokok jenama John dipercayai diseludup,” katanya.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu diketuai Sarjan Azman Mustapha bersama lima pegawai UPP Perak dan lapan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik selepas menerima maklumat awam dan risikan berkaitan van membawa rokok seludup akan melalui jalan berkenaan.

“Pihak berkuasa melakukan pemantauan kes penyeludupan rokok berkenaan bermula jam 11 pagi di JRTB dan selepas lebih 12 jam baru pihaknya mengesan van yang mencurigakan melalui jalan yang menuju ke arah Jeli.

“Kami percaya rokok jenama John yang diisi dalam 47 kotak besar dengan nilai RM300,000 itu diseludup dari kawasan Pantai Barat berdasarkan arah asal van berkenaan dan melalui jalan laut kerana banyak pasir pantai ditemui di celah kotak rokok terbabit semasa diperiksa.

“Rokok ini dipercayai dibawa masuk secara haram dan dijual di pasaran gelap di pantai timur sebagai bekalan musim perayaan Tahun Baru Cina yang disambut bermula Khamis ini,” katanya.

Menurutnya, selepas suspek menghilangkan diri ke dalam hutan berhampiran pihaknya memantau van berkenaan dua jam bagi memastikan sama ada suspek atau pihak yang ada kaitan dengan sindiket penyeludupan itu menghampiri van berkenaan, namun tiada siapa datang ke kenderaan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 11:02 AM