AHMAD  Zahid   (kiri) menyerahkan surat perlantikan   kepada  Joseph   pada pertemuan  di Hotel Meredien, Kota Kinabalu, semalam.
AHMAD Zahid (kiri) menyerahkan surat perlantikan kepada Joseph pada pertemuan di Hotel Meredien, Kota Kinabalu, semalam.

Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, dilantik secara rasmi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing di Sabah, di sini, semalam.

Watikah perlantikan ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, itu diserahkan kepada Joseph menerusi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

Pairin berkata, selain watikah perlantikan turut diserahkan lima terma rujukan jawatankuasa teknikal antaranya menyatakan meneliti laporan dan dapatan suruhanjaya siasatan pendatang asing di negeri ini serta penambahbaikannya.

“Perlantikan ini susulan persetujuan Jemaah Menteri dengan penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah membabitkan dua struktur iaitu Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal pada 3 Disember lalu.

“Secara keseluruhan, jawatankuasa ini dianggotai 16 ahli jawatankuasa termasuk dua Setiausaha Bersama terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Setiausaha Persekutuan Sabah,” katanya ketika ditemui selepas menerima watikah perlantikan tersebut.

Turut tersenarai menjadi ahli jawatankuasa, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Penasihat Undang-Undang KDN, Peguam Besar Negeri Sabah, Peguam Kanan Persekutuan Negeri Sabah dan Pesuruhjaya Polis Sabah.

Selain itu, jawatankuasa ini turut membabitkan beberapa pegawai kerajaan berkaitan termasuk Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Pengarah JPN Sabah, Pengarah JIM Sabah, Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Kerajaan Negeri Sabah serta Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah.

Menurut Pairin, pihaknya mengalu-alukan masyarakat di negeri ini memberikan pandangan berhubung penambahbaikan pengurusan warga asing.

“Ia selaras dengan terma rujukan jawatankuasa ini dalam menjadi medium mendapatkan maklum balas masyarakat untuk disalurkan kepada Jawatankuasa Induk.

“Setakat ini kami belum menerima sebarang cadangan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Tambah Pairin, jawatankuasa berkenaan turut berfungsi dalam mencadangkan pelan tindakan bagi pengurusan warga asing di negeri ini.

“Kemungkinan kami akan mencadangkan pendaftaran semula penduduk di negeri ini (warganegara) termasuk penggunaan kad berteknologi tinggi.

“Kad berteknologi tinggi itu boleh digunakan ke atas semua individu termasuk warga asing, pekerja asing dan pelarian IM13 dalam mengenal pasti status kerakyatan sebenar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 8:52 AM