GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
Suzianah Jiffar


PARTI Warisan Sabah (WARISAN) mencabar Barisan Nasional (BN) untuk menafikan mengenai pas khas yang diluluskan kepada pendatang asing di Sabah pada 2015.

Naib Presiden WARISAN, Datuk Junz Wong memberi reaksi itu sebagai maklum balas terhadap kempen BN yang mempersoalkan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) di negeri itu.

BN mempertikaikan pemberian PSS kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burong-Burong dan Sijil Banci berkuat kuasa 1 Jun ini yang disifatkan ibarat menyediakan ‘permaidani merah’ untuk pendatang asing tinggal selesa di Sabah.

Sehubungan itu, Junz mencabar BN untuk menafikan fakta yang mereka pernah meluluskan pas khas dikenali sebagai Pas Residen Sabah sejak Julai 2015 ketika mentadbir negara ini.

“Kita berbicara secara fakta. Saya cabar BN menafikan fakta itu,” kata Junz dalam kenyataannya, hari ini.

Junz memperincikan, sebuah jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah dibentuk sejak 3 Disember 2014.

Katanya, ia selepas menerima kelulusan Mesyuarat Jemaah Kabinet yang diketuai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 3 Disember 2014.

“Jawatankuasa Induk dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri pada ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah pada ketika itu, Tan Sri Musa Aman.

“Kemudian, Timbalan Ketua Menteri Sabah pada ketika itu, Tan Sri Joseph Pairin mengambil alih. Pas Residen Sabah diluluskan pada Julai 2015,” katanya.

Justeru, beliau mempersoalkan kempen BN sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis hari ini mencerminkan tindakan terdesak mereka.

“BN tubuhkan sebuah jawatankuasa dan BN meluluskan Pas Residen Sabah yang dicadang jawatankuasa itu. Akhirnya BN jugalah yang membuat bantahan.

“Tidakkah ini menyerlah keterdesakan BN?” katanya.

Junz turut menjelaskan, PSS yang dipersoalkan BN adalah cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin (PTI).

“PSS bukan cadangan WARISAN. PSS adalah syor dan cadangan RCI PTI yang ditubuh sejak 2012.

“Tapi, hari ini WARISAN menjadi kerajaan pertama melaksanakan usaha konkrit yang dicadang oleh RCI.

“Bagaimana BN nak selesaikan masalah PTI sedangkan BN yang menjadi punca masalah PTI? Maka biarlah WARISAN buat kerja menyelesaikan masalah PTI,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 2:51 PM