Oleh Mahaizura Abd Malik dan Farah Suhaidah Othman

Putrajaya: Bukan saja menjadi rebutan pemain industri tempatan dan multinasional, malah khidmat lepasan graduan Politeknik Malaysia diperlukan di luar negara kerana mereka mendapat pendedahan lengkap yang menepati keperluan dan kehendak industri masa kini.

Menurut Ketua Pengarahnya Datuk Hj Mohlis Jaafar, tanggapan melabelkan Politeknik Malaysia sebagai institusi kelas kedua sudah lama lenyap kerana ia menyediakan program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET)yang berkualiti tinggi dan mendapat pengiktirafan akreditasi dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, TVET menekankan latihan praktikal yang menjadi satu laluan bagi memastikan penuntut berjaya, lulus dan peluang kerjaya menanti mereka.

Menurut beliau, Politeknik Malaysia adalah sebahagian daripada penyumbang terbesar tenaga kerja TVET negara membabitkan lebih 55 peratus dalam melahirkan penuntut berkemahiran tinggi dan mempunyai daya kreatif menghasilkan produk inovasi.

Menurutnya, objektif kewujudan Politeknik Malaysia adalah untuk melahirkan graduan peringkat diploma dalam memenuhi keperluan industri dan agensi luar di peringkat pertengahan dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, teknologi selain perkhidmatan.

“Sebenarnya dari segi keperluan kerja, berdasarkan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) kerajaan memerlukan 1.3 juta tenaga kerja dalam bidang TVET di pelbagai peringkat pada 2020 dan Politeknik adalah penyumbang terbesar untuk menjayakan visi itu dengan sasaran melahirkan 330,000 juta tenaga kerja dalam bidang TVET diperingkat diploma berbanding 680,000 tenaga kerja dalam bidang TVET di peringkat diploma yang diperlukan..

“Dalam keperluan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Australia dan Switzerland TVET memainkan peranan besar dan lebih 60 peratus TVET diperlukan untuk pembangunan negara mereka.

“Sebagai contoh, di Malaysia 52 peratus institusi sudah menawarkan program TVET,” katanya.

Justeru itu bagi mencapai sasaran itu, beliau berkata Politeknik Malaysia yang sinonim dengan industri memainkan peranan paling besar untuk memenuhi bilangan tenaga kerja diperlukan dan ke arah menjadikan negara sebagai negara berpendapatan tinggi.

Menurutnya, bagi memastikan kualiti penuntut menepati kehendak industri setiap pensyarah adalah berkelayakan mengikut bidang diajar.

“Setiap pensyarah dihantar menimba pengalaman berada di dunia industri menerusi program sangkutan industri pensyarah (SIP) selama tiga bulan sebelum dikongsikan bersama penuntut.

“Pada masa sama, kita mewajibkan setiap pelajar menjalani latihan industri ke agensi mengikut program diambil selama satu semester bagi memberikan gambaran sebenar persekitaran kerja.

“Bukan itu saja, program ‘work based learning’ selama dua semester juga ditawarkan kepada pelajar berada di industri untuk mempraktikkan apa yang diajar berdasarkan kurikulum pembelajaran,” katanya.

Katanya, semua program Politeknik Malaysia mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan tujuh program kejuruteraannya juga diiktiraf Lembaga Akreditasi Teknologi Kanada (CTAB).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 8:39 AM