KERJA lapangan dilakukan pelajar diploma geomatik.
KERJA lapangan dilakukan pelajar diploma geomatik.
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Kuantan: Peluang melanjutkan pengajian selepas sesi persekolahan bukan hanya terhad kepada universiti saja, sebaliknya terbuka luas di pelbagai insitusti pengajian termasuk politeknik.

Menawarkan pelbagai kursus menarik sesuai dengan evolusi teknologi apatah lagi keperluan tenaga mahir semasa, politeknik menjadi antara tumpuan lepasan persekolahan kini.

Ini diakui Pengarah Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Semambu, Kuantan, Pahang Norlida Abd Razak yang bangga dengan pencapaian penuntut institusi itu.

Menurutnya, graduan lepasan politeknik Malaysia seperti POLISAS dan tidak perlu menunggu lama untuk menceburi alam pekerjaan memandangkan kursus diikuti memenuhi keperluan industri.

Sebagai politeknik kedua tertua di Malaysia, POLISAS melahirkan ramai tenaga kerja separa profesional untuk memenuhi pasaran kerja terlatih di dalam dan luar negara.

POLISAS yang ditubuhkan pada 1976 berjaya mengharungi pelbagai cabaran dalam memenuhi misinya menghasilkan modal insan berketrampilan melalui pendidikan dan latihan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja global.

Menawarkan tiga bidang utama iaitu kejuruteraan, perdagangan dan teknologi makanan menerusi 14 program, ia menjadi tumpuan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian.

Antara program ditawarkan ialah diploma kejuruteraan awam, diploma kejuruteraan mekanikal, diploma kejuruteraan elektronik, diploma akauntansi, diploma sains kesetiausahaan, diploma pengurusan logistik dan rangkaian bekalan dan diploma teknologi makanan (pengurusan halal).

Norlida berkata, komitmen pensyarah dan kesungguhan pelajar yang diperlihatkan menerusi akademik dan kokurikulum dibuktikan dengan pelbagai kejayaan dalam pelbagai pertandingan dan kejohanan sukan.

“Justeru, saya mengalu-alukan ibu bapa menghantar anak untuk mengikuti pelbagai kursus ditawarkan politeknik dan tidak hanya fokus melanjutkan pengajian di universiti saja,”katanya.

Selain itu, pelbagai usaha dibuat bagi memastikan kursus yang ditawarkan memenuhi tuntutan pasaran pekerjaan, antaranya melakukan penjenamaan semula program.

Pensyarah Utama Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA) POLISAS, Mohd Fikri Ismail berkata, antara yang menjadi fokus penjenamaan semula diploma ukur tanah (Jabatan Kejuruteraan Awam) kepada diploma geomatik.

“Penjenamaan yang dibuat sejak satu setengah tahun lalu usaha memenuhi keperluan semasa industri,”katanya.

Menurutnya, pelajar yang mengikuti program itu bukan saja menumpukan kepada kerja pengukuran hak milik dan ukur, sebaliknya diperluaskan kepada penggunaan Sistem Maklumat Geografi, Penderian Jauh dan Unmanned Aerial Vehicle (UAV).

“Ianya memberi fokus pengumpulan dan penyimpanan data digital, dapatan kembali data, olahan dan analisis data untuk mendapatkan maklumat baru untuk keputusan kajian,”katanya.

Mohd Fikri berkata, lepasan SPM berminat mengikuti program itu perlu menepati syarat minimum iaitu tiga kepujian dalam mata pelajaran matematik atau matematik tambahan, subjek berkaitan sains, teknologi atau vokasional dan mata pelajaran lain termasuk bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau sejarah.

“Pelajar terpilih mengikuti program ini mengikuti empat kursus utama iaitu kursus wajib, kursus teras, kursus khusus dan kursus elektif secara teori dan praktikal.

“Pelajar pasti teruja kerana ia membabitkan kerja lapangan menggunakan peralatan berteknologi tinggi seolah-olah sedang menjalankan tugas sebenar,”katanya.

Beliau berkata, kerja lapangan di luar kampus lebih dikenali sebagai khemah kerja ukur kejuruteraan dan khemah kerja ukur hidrografi iaitu aktiviti yag dinantikan setiap pelajar.

“Bidang utama dipelajari ialah ukur kadaster, ukur kejuruteraan, geodesi, undang-undang dan pembangunan tanah,”katanya.

Sebagai contoh, katanya, bidang geodesi membolehkan pelajar mempelajari kaedah menentukan saiz dan bentuk bumi, penentuan arah kiblat dan waktu solat serta pusara dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Katanya, pelajar turut terbabit dalam kerja ukur hidrografi syarikat perlombongan emas bagi mendapatkan data profil kedalaman tasik bagi memastikan sejauh mana kemampuan tasik itu menampung sisa pelombongan.

“Pelajar kita pernah menjalankan kerja ukur kejuruteraan di Rompin dan Gambang serta hidrografi di muara Sungai Kuantan sebagai pendedahan awal geomatik.

“Situasi ini secara tidak langsung memperlihatkan kemampuan pelajar dan pensyarah POLISAS dalam bidang geomatik,”katanya.

Potensi besar program disokong Dr Mohamad Abdul Rahman, juga pensyarah JKA POLISAS yang menambah bahawa diploma geomatik diberi pengiktirafan oleh Lembaga Juruukur Tanah (LJT) dan secara automatik diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Berdasarkan statistik, dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, lebih 75 peratus graduan kursus itu mendapat pekerjaan dan menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.

“Ini satu kejayaan besar POLISAS dan kini 499 pelajar dibimbing 30 pensyarah berpengalaman dalam bidang kejuruteraan awam dan pengkhususan masing-masing sedang mengikuti program diploma geomatik.

“Justeru, pihak industri serta agensi berkaitan tidak perlu bimbang menerima lepasan POLISAS dan politeknik Malaysia yang lain dalam bidang geomatik kerana mereka sudah diberikan ilmu dan latihan di lapangan secukupnya,”katanya.

Beliau berkata, lepasan diploma geomatik boleh mohon bertugas di sektor awam seperti JUPEM, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bekalan Air (JBA), Pusat Remote Sensing Negara (MACRES), Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dan menjadi pensyarah di universiti awam

Di sektor swasta pula, lepasan graduan boleh bekerja di firma juruukur berlesen, firma pembinaan, syarikat tenaga dan utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

“Graduan boleh memohon bertugas di luar negara dalam bidang minyak dan gas (O&G) serta hidrografi seperti di Dubai dan Brunei. Ada pelajar kita yang bekerja di sana,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 9:46 AM