PROGRAM Nurturing Career Readiness 2019 disertai 500 pelajar kolej komuniti dari Perak.
PROGRAM Nurturing Career Readiness 2019 disertai 500 pelajar kolej komuniti dari Perak.
Fazurawati Che Lah


PROGRAM Nurturing Career Readness 2019 berlangsung meriah apabila 500 pelajar dari kolej komuniti seluruh Perak menyertai acara itu bagi mendapatkan pendedahan berkenaan budaya kerja di industri.

Malah program yang berlangsung di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng itu anjuran Kolej Komuniti Perak dengan menampilkan empat syarikat terkemuka untuk memberi pendedahan kerjaya dan peluang mendapat pekerjaan serta budaya kerja terkini di sektor swasta.

Syarikat itu ialah Telekom Malaysia, Wau Animation, Le Shuttle Event (M) Sdn Bhd dan Impiana Hotel.

Pengarah program yang juga pensyarah di Kolej Komuniti Sungai Siput, Perak, Ahmad Syukri Ahmad Tajuddin berkata, program itu bermatlamat untuk mewujudkan hubungan baik bersama industri bagi mengekalkan keboleh pasaran pelajar selepas menamatkan pengajian antara 16 hingga 20 bulan.

“Pendedahan ini juga bertujuan menjalinkan hubungan baik bersama industri tempatan bagi menyediakan pelajar diploma dan sijil untuk mengikuti latihan industri serta dunia pekerjaan.

“Selain itu, kita juga mahu mendapatkan maklum balas dan cadangan daripada pihak industri bagi menambah baik kualiti graduan Kolej Komuniti selaras dengan keperluan Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0),” katanya pada majlis berkenaan.

Majlis turut menyaksikan tandatangan perjanjian kerjasama kolej komuniti bersama industri bagi membantu pelajar mendapat tempat Latihan Industri (LI), sekali gus membantu meningkatkan kemahiran pelajar.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, M Azmi Ruzali berkata, bidang ilmu dan pendidikan harus dijadikan sebagai teras dalam usaha mempersiapkan pelajar serta graduan menangani cabaran baharu yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.

“Dalam memacu Industri 4.0, penting bagi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mendasari keperluan industri untuk memastikan Malaysia berada di landasan tepat ke arah mencapai status negara maju.

“Kolej komuniti memainkan peranan penting dalam memperkasakan sistem TVET. Maka, tepatlah dengan penganjuran program ini yang bertindak sebagai platform dan inisiatif kolej komuniti untuk bersama wakil industri berpengalaman bertukar pendapat berkenaan pelbagai isu kemahiran serta pendidikan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pusat latihan teknikal seperti Kolej Komuniti mengambil peluang yang ada dengan menggembleng tenaga dan usaha untuk melahirkan graduan dengan kemahiran memenuhi permintaan industri.

“Secara tidak langsung, kerjasama ini meningkatkan lagi potensi perkembangan industri yang berkait dengan program di kolej komuniti negeri ini.

“Sokongan dan galakan daripada pihak industri diperlukan kepada usaha yang dijalankan kolej komuniti khususnya dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan bersedia dari segi mental serta fizikal untuk menghadapi gelombang industri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 9:09 AM