KKTM Masjid Tanah catat sejarah sebagai institut TVET pertama di Malaysia terima anugerah daripada APACC.
KKTM Masjid Tanah catat sejarah sebagai institut TVET pertama di Malaysia terima anugerah daripada APACC.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memperkukuh kualiti program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) apabila Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah melakar kejayaan dalam mengharumkan nama negara di persada antarabangsa dengan menerima Anugerah Platinum daripada Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC).

Pengerusi MARA, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata, lebih membanggakan lagi, KKTM Masjid Tanah adalah institusi TVET pertama dalam sejarah yang dianugerahkan Platinum oleh APACC di rantau Asia Pasifik.

Menurutnya penganugerahan itu sekali gus membuktikan institusi milik MARA ini berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa.

"Kejayaan yang dicapai ini membuktikan TVET MARA sudah mencapai penanda aras yang bagus dalam meningkatkan kualiti pendidikan TVET seterusnya.

"Ia sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dalam pekerjaan yang secara tidak langsung menyokong kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara," katanya.

Pengiktirafan yang diterima KKTM Masjid Tanah ini juga adalah sokongan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025) di bawah Pendidikan Tinggi bagi mendapatkan pengiktirafan dan akreditasi di peringkat antarabangsa.Azizah berkata kejayaan ini adalah usaha dalam menambahbaik jenama penyedia TVET tempatan, memudahkan artikulasi kelayakan dan memberikan pengiktirafan global untuk tujuan pengajian serta memudahkan mobiliti pelajar.

PELATIH menjalani latihan dalam pembelajaran mereka.
PELATIH menjalani latihan dalam pembelajaran mereka.

APACC adalah sebuah badan akreditasi pensijilan antarabangsa di bawah Colombo Plan Staff College (CPSC) yang berpusat di Manila, Filipina berfungsi menilai sistem pengurusan dan kualiti institusi TVET di Asia Pasifik khasnya bagi institusi TVET di peringkat Asia Pasifik.

Badan ini dianggotai oleh 17 negara di rantau Asia Pasifik iaitu Afghanistan, Bangladesh, Fiji, India, Indonesia, Iran, Japan, Korea, Maldives, Mongolia, Myanmar, Nepal, Pakistan, Papua New Guinea, Filipina dan Sri Lanka termasuk Malaysia.

Melalui pengiktirafan ini, menurut Azizah Malaysia mengungguli carta penerima apabila 15 institusi menerima akreditasi APACC terdiri daripada Politeknik, KKTM serta MARA-Japan Industrial Institute (MJII).

"Ketika ini enam institusi di bawah Institusi TVET MARA berjaya meraih Anugerah emas atau Gold Award yang diiktiraf bersama-sama 32 Institusi TVET lain di peringkat Asia Pasifik.

"Selain daripada KKTM Masjid Tanah dan MJII, KKTM lain yang turut mendapat pengiktirafan adalah dari Sri Gading, Rembau, Kemaman, Kuantan serta Ledang," katanya.

Akreditasi APACC dinilai berdasarkan tujuh kriteria penting iaitu Tadbir Urus dan Pengurusan, Pengajaran dan Pembelajaran, Sumber Manusia, Penyelidikan dan Pembangunan, Imej dan Kelestarian, Sumber Pendidikan dan Khidmat Sokongan Pelajar.

DELEGASI luar turut berminat mengadakan lawatan kerja ke makmal2 pembelajaran di KKTM Masjid Tanah.
DELEGASI luar turut berminat mengadakan lawatan kerja ke makmal2 pembelajaran di KKTM Masjid Tanah.

KKTM Masjid Tanah mula beroperasi pada 2007 dengan menawarkan tiga kursus iaitu Diploma Teknologi Pemprosesan Polimer Komposit, Diploma Teknologi Pemprosesan Plastik dan Diploma Teknologi Pemprosesan Seramik.

Melihat kepada keperluan industri semasa, pada 2010 institusi ini dinaiktaraf dengan melaksanakan penyusunan semula kursus dan bidang pengajian yang ditawarkan.

Bagi meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap kualiti pendidikan di institusi ini, program Diploma dalam bidang Pemprosesan Bahan dan Automotif yang ditawarkan mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

DATUK Seri Panglima Azizah
DATUK Seri Panglima Azizah

Sehingga kini, KKTM Masjid Tanah menawarkan empat program pengajian peringkat Diploma Teknologi Kejuruteraan yang diiktiraf oleh MQA melalui Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) dan satu program diploma industri yang ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Azizah berkata sepanjang tempoh 15 tahun penubuhannya, KKTM Masjid Tanah sudah menyertai beberapa pertandingan kemahiran dan inovasi di peringkat kebangsaan dan Asia.

"Langkah itu adalah sebagai usaha mengetengahkan bakat, kebolehan dan kemampuan, disamping menggalakkan peningkatan kreativiti di kalangan pelajar serta tenaga pengajar," katanya.

Melalui pertandingan-pertandingan yang disertai, KKTM Masjid Tanah pernah berjaya mencapai kejayaan di World Youth Invention and Innovation Award 2021 yang dianjurkan oleh Universitas Negeri Yogyakarta melalui penyertaan projek Vehicle Auxiliary System Voice Command (VauxVC) dengan mendapat anugerah emas dan Anugerah Khas Indonesian Young Scientist Association (IYSC).

Manakala di peringkat kebangsaan melalui pertandingan Innovation and Invention Competition through Exhibition (iCompEx) 2021, institusi ini memperolehi dua anugerah emas dan tiga perak secara keseluruhan.

KKTM Masjid Tanah menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menarik seperti penggunaan teknologi digital, bahan pengajian kreatif, bekerjasama dengan pemain industri bagi perkongsian teknik dan teknologi terkini.

Selain daripada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang efisen, tenaga pengajar di KKTM Masjid Tanah juga terdiri daripada mereka yang mempunyai kelulusan akademik yang tinggi serta berpengalaman luas merangkumi tiga peratus Ijazah Kedoktoran, 59 peratus Ijazah Sarjana, 30 peratus berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan selebihnya memiliki Dploma dan Sijil.

Jelas Azizah lagi pendekatan dan kaedah pembelajaran ini membuka minda pelajar dan menarik minat mereka terhadap sesuatu bidang pengajian.

Katanya, Kolej ini juga menitik berat nilai tambah kepada setiap program pengajian dengan menawarkan Sijil Lanjutan kepada pelajar yang layak.

"Saya juga bangga apabila graduan dari KKTM Masjid Tanah ini mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi apabila 91 peratus sudah mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

"KKTM Masjid Tanah sentiasa menjalinkan kerjasama dengan pihak industri dalam usaha menempatkan pelajar menjalani latihan industri dan seterusnya menerima tawaran pekerjaan," katanya.

"Saya berharap KKTM Masjid Tanah dapat meneruskan kecemerlangan dan melahirkan lebih ramai pelajar yang memenuhi keperluan dalam industri lebih-lebih lagi dengan pengiktirafan yang baharu diterima daripada APACC," tambahnya.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Program TVET MARA, sila layari; https://www.mara.gov.my

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 7:00 AM