Johor Bahru: Kehilangan seorang wanita dari Taman Sinaran Kempas, di sini, tanpa sebarang berita sejak Oktober tahun lalu menimbulkan kebimbangan suami dan keluarganya.

Pekerja bengkel, Mohd Hafizul Asni, 28, berkata, isterinya, Nur Hidaiyah Rosli, 23, tidak pulang ke rumah sejak awal Oktober tahun lalu selepas keluar untuk ke kedai berhampiran seorang diri.

Beliau berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerja di Singapura dan dimaklumkan mengenai kehilangan isteri oleh ibu mentuanya selepas pulang ke rumah.

“Ibu mentua mendakwa isteri saya keluar sejak pagi untuk ke kedai berhampiran dalam keadaan sehelai sepinggang tanpa membawa sebarang pakaian dan tiada perkara curiga yang berlaku.

“Sejak itu dia langsung tidak pulang ke rumah. Saya sudah cuba menghubungi telefon bimbitnya berkali-kali namun tidak berjaya.

“Saya bimbang mengenai keselamatannya kerana dia tidak pernah bertindak begini sebelum ini, malah dia amat rapat dengan anak sulung kami dan tidak sanggup berada jauh dengan tiga orang anaknya,” katanya.

Mohd Hafizul berkata, dia sudah cuba melakukan pelbagai usaha untuk mengesan isterinya, tetapi tidak berhasil.

“Saya nekad membuat laporan polis kerana bimbang mengenai keselamatan isteri yang hilang secara misteri itu.

“Saya berharap orang ramai yang mengenali atau ternampak isteri saya atau mempunyai sebarang maklumat menghubungi saya di talian 019-4316144 atau 012-7661030,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 9:05 AM