ASNI tekun menyiapkan lakaran potret Elephant Rock ketika mengunjungi Al-Ula.
ASNI tekun menyiapkan lakaran potret Elephant Rock ketika mengunjungi Al-Ula.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Berdakwah bukan semestinya menerusi ceramah semata-mata dan ini yang dilakukan oleh Asni Abu Mansor yang menggunakan seni kemahiran melukisnya untuk menyampaikan ilmu dakwahnya.

Asni yang juga seorang 'hafizah', mula menggunakan lukisan sebagai wadah untuknya menyampaikan dakwah ketika mengembara di sesuatu tempat bersejarah.

Sehingga kini, pendakwah tersohor Malaysia berusia 46 tahun ini sudah menghasilkan hampir 300 lukisan sejak mula aktif melukis sejak 2013.

"Saya sebenarnya gemar melukis sejak kecil lagi dan bakat melukis ini adalah semula jadi, tiada pendidikan khusus. Anak-anak dan ibu saya, Rokiah Suhada, 84, banyak memberi sokongan padu untuk saya giat melukis," Asni yang sudah berkecimpung hampir 20 tahun dalam bidang dakwah, berkongsi perjalanan dakwah dan kisah hidupnya dengan Bernama baru-baru ini.

Beliau yang mempunyai Diploma Tahfiz al-Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan mendapat sanad ijazah al-Quran dari Masjidil Aqso Palestin mempunyai empat orang cahaya mata iaitu Yasmin Sofea Mohd Nasir, 23, Muhammad Adam Shauqi Mohd Nasir, 22, Maryam Hani Mohd Nasir,20 dan Muhammad Naufal Kholili Mohd Nasir,16.

Sehingga kini, antara lukisan yang dihasilkan oleh Asni ialah potret Masjid Nabawi ketika mengunjungi Madinah dan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis sewaktu menziarahi Palestin. Dalam kunjungan ke bandar Sarajevo ketika menjalankan misi bantuan di Bosnia-Herzegovina, Asni menghasilkan lukisan memaparkan keindahan bunga-bungaan yang dilihat di bandar berkenaan.

"Bagi saya, melukis juga satu wadah dakwah dalam bentuk visual, yang mampu menyentuh hati orang-orang yang memiliki jiwa seni. Kadang kala melalui seni lebih mudah sampai apa yang ingin disampaikan, biarpun tanpa seribu bicara atau seribu bahasa tetapi ia mudah disampaikan," katanya.

Menurut Asni yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan, menjadi kelaziman untuknya membawa alat melukis walau di mana sahaja beliau berada dan akan singgah di sesuatu tempat untuk mengabadikan tempat itu dalam bentuk lakaran.

"Ini cara saya untuk menyampaikan sesuatu kepada masyarakat menerusi lukisan. Sebenarnya setiap tempat yang saya pergi, saya akan abadikan satu lukisan sebagai satu kenangan dan dari situ sebenarnya saya menyimpan maklumat tentang tempat-tempat yang saya lukiskan itu," katanya sambil menambah, berkarya melalui lukisam satu nikmat kepuasan dan terapi diri.

Selain sebagai koleksi simpanan, terdapat juga lukisan yang dihasilkannya dijual dengan harga antara RM300 hingga RM10,000. Harga lukisan bergantung kepada nilai sesebuah lukisan terbabit. Antara yang menempah lukisan pendakwah itu termasuk golongan selebriti, peminat serta ahli perniagaan.

NORDIANA (kiri) bersama Asni (dua dari kiri) ketika mengunjungi tempat bersejarah di Al-Ula.
NORDIANA (kiri) bersama Asni (dua dari kiri) ketika mengunjungi tempat bersejarah di Al-Ula.

Ada juga lukisan yang dijual kemudian didermakan kepada kepada golongan tidak bernasib baik dan juga ketika menjalankan misi bantuan di beberapa negara.

Selain itu karya seni Asni turut dipamerkan dalam beberapa program islamik di stesen televisyen antaranya dalam program 'Ku Seru NamaMu' yang berteraskan 99 nama Allah (terbitan TV Alhijrah). Program berkenaan menampilkan Asni berdakwah sambil menghasilkan lukisan.

Pada 12 November 2021, Asni berkesempatan melawat sebuah tempat yang bersejarah serta melukis sebuah potret iaitu satu kawasan peninggalan kaum di zaman Nabi Saleh iaitu di Al-Ula, Arab Saudi.

Al-Ula terletak di sebelah utara Arab Saudi yang merupakan satu wilayah menarik dan menjadi destinasi pelancongan popular di negara itu.

Di Al-Ula terdapat sebuah batu yang digelar Elephant Rock atau disebut Batu Gajah manakala penduduk tempatan menggelarkan tempat itu sebagai Jabal al-Fil.

Dengan ketinggian 52 meter, Elephant Rock membentuk seperti gajah dan belalainya menyentuh tanah.

Sewaktu mengunjungi tempat berkenaan, Asni turut mengambil peluang ketika waktu senja untuk melukis gambar Elephant Rock dan baginya, ia menyimpan kisah tersendiri yang perlu dijadikan iktibar buat umat Islam pada masa kini.

"Apa yang ingin saya sampaikan menerusi lakaran karya di Elephant Rock, Al-Ula adalah bahawa betapa beruntungnya kita menjadi umat Nabi Muhammad SAW yang mana azab kita tertangguh dan kita diberi peluang untuk memohon ampun kepada Allah SWT, sedangkan umat lain (umat kaum nabi lain) mereka terus diberikan azab secara segera.

HASIL lukisan Elephant Rock Asni di Al-Ula.
HASIL lukisan Elephant Rock Asni di Al-Ula.

"Tempat ini (Elephant Rock) merupakan tempat bersejarah di mana di situlah kesan laknat Allah untuk kaum Tsamud yang mengingkari perintah Allah. Batu-batu yang terdapat di sini adalah kesan yang ditinggalkan Allah ketika Allah menghancurkan kaum Tsamud yang merupakan kaum Nabi Saleh yang ingkar dengan perintah Allah dengan menurunkan ribut petir kuat sehingga hancur dan pecah batu-batu di situ. Ia menjadi saksi kepada kita bahawa azab Allah itu benar," jelasnya.

Justeru Asni turut menggalakkan masyarakat untuk mengembara dan melihat sendiri bagaimana kesan yang telah Allah tinggalkan untuk kaum yang mendustakan perintah Allah.

Ketika Asni melakarkan lukisan berkenaan, ia turut menarik perhatian penduduk Arab Saudi yang tidak melepaskan peluang untuk sama-sama melihat dan menanti hasil lukisan pendakwah Malaysia itu.

Rakan karib Asni, Nordiana Arshad, 36, yang sudah enam tahun menetap di Madinah al-Munawwarah berkata, sejak mula Asni melukis, seorang demi seorang wanita Arab datang mendekati Asni yang sedang asyik melukis.

"Semasa ustazah Asni melukis, datang seorang demi seorang wanita Arab untuk melihat dengan lebih dekat potret yang sedang dilakarkan. Mereka nampak kagum dan ada yang memberitahu saya bahawa ini kali pertama mereka lihat ada wanita yang melukis di sini," katanya.

Nordiana yang berasal dari Klang, Selangor turut menemani Asni melawat tempat berkenaan dan bersama dengan beliau ketika melukis. Penduduk tempatan, katanya, tidak melepaskan peluang mengambil gambar serta merakam video ketika Asni melukis untuk dijadikan kenangan.

Dalam pada itu, Nordiana berkata Al-Ula merupakan peninggalan sejarah Islam dan ia termaktub dalam al-Quran mengenai kisah kaum Nabi Saleh yang ingkar atas perintah agama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 6:50 AM