SITI Maisarah gagal dikesan selepas keluar rumah 29 April lalu.
SITI Maisarah gagal dikesan selepas keluar rumah 29 April lalu.
Hasbi Sidek


GOMBAK: “Sebelum ini, saya berbuka puasa dengan dia, bersahur pun dengan dia. Namun, sejak isteri menghilangkan diri pada malam 29 April lalu, saya tinggal seorang diri di rumah,” kata Hanafi Abu Jamil, 37.

Hanafi berkata, isterinya, Siti Maisarah Hamzah, 27, yang mengalami masalah kemurungan keluar dari rumah kira-kira jam 10 malam dan tidak pulang sehingga kini menyebabkan keluarganya bimbang keselamatan wanita itu.

Katanya, sejak berkahwin dengan Siti Maisarah sembilan tahun lalu, isterinya sudah beberapa kali menghilangkan diri, namun ini kali pertama wanita itu tidak ditemui sehingga lebih dua minggu walaupun sudah berusaha mencarinya di merata tempat.

“Pada malam itu, isteri mengajak saya keluar membeli nasi lemak, namun saya memintanya menunggu sekejap sebelum terlelap di ruang tamu.

“Ketika tidur saya terdengar seperti bunyi pintu kereta ditutup. Kemudian, saya periksa dalam rumah dan mendapati isteri tiada. Pada mulanya menyangka dia pergi membeli nasi lemak, namun selepas lebih dua jam isteri tidak pulang, saya mula tidak sedap hati,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Hanafi yang menetap di Gombak Setia berkata, dia kemudian membuat laporan jam 1.30 pagi di Balai Polis Gombak, pada 30 April lalu.

“Isteri keluar tanpa membawa kad pengenalan dan telefon bimbit. Sudah merata tempat saya cari seperti di taman, surau, masjid dan hospital, namun tidak menemuinya.

“Saya mendapat maklumat daripada orang awam yang ternampak isteri di sekitar Lebuhraya Persekutuan, dekat Petaling Jaya. Saya pergi ke situ sebelum mendapati isteri pernah ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di kawasan berkenaan untuk membuat kad pengenalan baharu pada 8 Mei lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 6:25 AM