Asni Omar (kiri) dan wanita Perancis, Stephanie Foray, 30, yang hilang di Pulau Tioman, Pahang pada Mei 2011 sebelum mayatnya ditemui dalam gua di pulau itu. - Foto Fail
Asni Omar (kiri) dan wanita Perancis, Stephanie Foray, 30, yang hilang di Pulau Tioman, Pahang pada Mei 2011 sebelum mayatnya ditemui dalam gua di pulau itu. - Foto Fail
BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati terhadap seorang peniaga kerana membunuh pelancong wanita Perancis lima tahun lalu.

Rayuan akhir Asni Omar, 41, ditolak panel lima anggota diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang memutuskan tiada merit dalam rayuan itu.

Empat lagi hakim yang bersidang dalam panel itu ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Balia Yusof Wahi.

Asni yang disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan kerana membunuh Stephanie Foray, 30, di sebuah rumah di Kampung Tekek, Pulau Tioman, antara 8 malam 10 Mei dan tengah hari 12 Mei 2011, kalah dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan lalu membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Mayat Foray dijumpai kira-kira tiga bulan kemudian ditanam dalam sebuah gua di Pulau Tioman.

Asni kini mempunyai pilihan terakhir iaitu merayu kepada Lembaga Pengampunan terhadap hukuman mati ke atasnya.

Dalam rayuan, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Asni, berhujah keterangan dikemukakan menunjukkan tiada kes prima facie kerana membunuh, sebaliknya menyebabkan kematian tanpa niat.

Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof berkata, keterangan menunjukkan ia adalah pembunuhan dan Asni mendedahkan maklumat serta membawa polis ke gua tempat mayat Foray dijumpai ditanam serta ke rumahnya tempat barangan milik wanita itu dijumpai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 8:18 PM