HAYAT bersama suaminya, Amedy yang ditembak mati di timur Paris, kelmarin.
HAYAT bersama suaminya, Amedy yang ditembak mati di timur Paris, kelmarin.

Paris: Anggota keselamatan Perancis semalam melancarkan gerakan memburu besar-besaran terhadap isteri seorang militan bersenjata selepas 17 orang terbunuh dalam keganasan selama tiga hari yang menggemparkan negara itu.

Selepas Presiden Francois Hollande memberi amaran ancaman yang dihadapi Perancis belum berakhir dan kumpulan militan pula mengingatkan mereka akan melancar serangan baru, pihak berkuasa memulakan usaha menjejaki Hayat Boumeddiene, yang didakwa ‘bersenjata dan berbahaya.’

Dia ialah isteri Amedy Coulibaly yang terbunuh awal semalam selepas pasukan keselamatan menyerbu sebuah pasar raya Yahudi di timur Paris, tempat dia menahan beberapa tebusan.

Amedy didakwa membunuh empat orang yang ditahannya dan menggesa rakannya yang lain melancarkan lebih banyak serangan sebelum dia ditembak mati di pasar raya itu.

Hollande mengadakan mesyuarat tergempar beberapa jam selepas drama dua tebusan berakhir yang turut menyaksikan kematian dua beradik yang membunuh 12 orang di pejabat akhbar satira Charlie Hebdo Rabu lalu.

Hollande juga berkata, dia akan menghadiri perarakan perpaduan hari ini yang dijangka menarik ratusan ribu orang, termasuk pemimpin dari Jerman, Britain, Itali dan Sepanyol.

Persoalan juga timbul mengenai bagaimana tiga lelaki - Cherif Kouachi, 32, dan abangnya, Said, 34, serta lelaki bersenjata di pasar raya berkenaan, Amedy, 32, boleh terlepas dari jaringan keselamatan walaupun ketiga-tiganya berada dalam senarai agensi perisikan.

Dengan kebimbangan merebak selepas serangan di Paris itu, Amerika Syarikat memberi amaran mengenai ancaman global dengan mengingatkan rakyatnya di seluruh dunia supaya lebih berwaspada.

Dalam pada itu, Hollande menyifatkan serangan di pasar raya Yahudi itu sebagai tindakan ‘anti-Semitic’ dan berkata: “Ia tidak ada mengena dengan Islam.”

Cherif dan adiknya Said ditembak mati anggota keselamatan di sebuah bangunan di Dammartin-en-Goele di luar Paris awal semalam.

Menurut sumber, mereka ditembak selepas menyerbu keluar dari bangunan itu sambil melepaskan tembakan ke arah polis yang mengepung mereka.

Sejurus selepas itu, pasukan keselamatan menyerbu pasar raya yang terletak 40 kilometer dari tempat berkenaan, menembak mati Amedy, ketika dia menunaikan solat.

Ketiga-tiga mereka yang kenal antara satu sama lain mempunyai rekod kesalahan berkait dengan fahaman radikal.

Cherif dan abangnya melancarkan serangan terhadap pejabat Charlie Hebdo, kerana bertindak balas terhadap akhbar itu yang menyiarkan kartun menghina Nabi Muhammad (SAW). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 5:06 AM