Tokyo: Memang tidak serik dan begar, perkataan itu mungkin sesuai untuk merujuk pihak yang menerbitkan buku mengandungi kartun satira Charlie Hebdo dengan imej Nabi Muhammad SAW di Jepun.

Buku 64 halaman itu mula berada di pasaran Tokyo Selasa lalu meskipun mendapat bantahan keras daripada kumpulan Islam tempatan.

Buku yang diterbitkan oleh syarikat berpangkalan di Tokyo, Daisan Shokan mengandungi 48 kartun satira yang pernah disiarkan oleh majalah Perancis Charlie Hebdo, sasaran serangan berdarah bulan lalu yang mengakibatkan 12 orang terbunuh.

Buku betajuk Islam Heito Ka, Fushi Ka diterbitkan bersama komen oleh kartunis dan pengkaji Islam dengan wajah Nabi Muhammad dikaburkan, lapor TBS semalam.

Menurut jurucakap Daisan Shokan, sebanyak 300 salinan dicetak dan akan diedarkan kepada 500 kedai buku di seluruh Jepun, bagaimanapun tidak dapat disahkan jumlah kedai yang benar-benar berani untuk menjualnya.

Sementara itu, kumpulan Islam di Jepun yang membantah penerbitan buku berkenaan menegaskan, mencetak sebuah buku yang menggambarkan imej Nabi Muhammad SAW dengan dikaburkan atau tidak dianggap penghinaan ke atas Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 8:42 AM