ANGGOTA Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa membetulkan keranda mangsa QZ8501 yang diterbangkan menggunakan pesawat C-295M milik tentera udara Indonesia.
ANGGOTA Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa membetulkan keranda mangsa QZ8501 yang diterbangkan menggunakan pesawat C-295M milik tentera udara Indonesia.

Pangkalan Bun: Pasukan penyelam tentera elit Indonesia berazam untuk terus mencari ‘jalan’ membantu mengangkat bangkai ekor pesawat dan mencari saki-baki mayat penumpang yang masih belum ditemui.

Memetik laporan agensi berita AFP, Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia Bambang Soelistyo berkata, penemuan terbesar kelmarin adalah ‘usaha’ semua pihak yang bertungkus-lumus mengesan lokasi bahagian ekor pesawat yang terbenam di dasar laut sedalam 35 meter.

“Pasukan penyelam sampai ke lokasi berkenaan, namun jarak pandangan kurang daripada satu meter dan mereka mampu mengumpulkan beberapa serpihan.

“Sekarang kami menunggu kekuatan arus berkurang. Jika ia menjadi lebih tenang, pasukan penyelam kembali ke lokasi berkenaan untuk memeriksa sama ada kotak hitam masih terdapat pada bahagian ekor pesawat itu,” katanya.

Bambang berkata, pihaknya bersedia dengan jentera pengangkat bagi menaikkan bangkai pesawat itu, namun ada banyak prosedur pemeriksaan perlu dilakukan terlebih dahulu.

Katanya, keutamaan pasukan SAR adalah untuk mencari seberapa banyak mangsa korban yang boleh, setakat ini 41 daripadanya ditemui terapung di permukaan laut.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 7:23 AM