Pangkalan Bun: Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) menunggu masa sesuai untuk mengangkat bahagian utama badan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang ditemui kelmarin.

Memetik laporan Kompas.com, penemuan itu berdasarkan imej dirakam alat Kenderaan Kawalan Jauh (ROV) kapal Singapura, RSS MV Swift Rescue di perairan Selat Karimata.

Ketua BASARNAS Bambang Supriyadi berkata, sebelum badan pesawat diangkat, pihaknya mengambil langkah menurunkan pasukan penyelam untuk menganggarkan luas dan berat badan pesawat yang tertimbus lumpur itu.

"Pasukan penyelam akan mengikat sekeliling badan pesawat menggunakan tali disilangkan.

"Seperti pengangkatan ekor pesawat yang memerlukan dua hari hanya untuk mengikatnya, kami juga berdepan situasi sama untuk mengangkat badan pesawat itu," katanya.

Menurutnya, pengangkatan badan pesawat akan dilakukan dengan menggunakan pelampung apungan dan kren.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:15 AM