Segamat: “Walaupun cuba menepis parang di leher, namun kudrat saya tidak mampu melawannya, tetapi mujur penjenayah tidak menetak saya,” kata seorang wanita warga emas yang menjadi mangsa samun seorang lelaki bersenjatakan parang di rumahnya di Kampung Bukit Kledang, Jementah di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Mazinah Awang, 78, berkata, dia terkejut mendapati seorang lelaki tidak dikenali berada di dalam rumahnya sebaik keluar dari tandas.

Katanya, lelaki yang menutup muka dengan baju itu turut memegang sebilah parang dan terus menerpa ke arahnya sambil mengacukan senjata tajam itu ke lehernya.

“Penjenayah itu memberi amaran supaya serahkan duit jika tidak mahu dibunuh dan kerana bimbang dia mencederakan saya dan suami yang terlantar di ruang tamu, saya mengikuti arahannya apabila dia menyuruh masuk ke dalam bilik bagi mengambil barangan berharga.

“Saya cuba melawan dengan menghempaskan pintu bilik ke arah penjenayah itu, tetapi dia berjaya mengelak dan menolak saya sehingga hampir jatuh sambil sekali lagi memberi amaran akan dicederakan jika melawan,” katanya.

Mazinah berkata, penjenayah itu turut mengugut akan mencederakan suaminya, Atan Isnin, 84, yang terlantar akibat lumpuh sejak tiga tahun lalu.

“Bimbang penjenayah itu mungkin mencederakan suami, saya akur dengan arahannya dan menyerahkan beg duit berisi RM180 kepada lelaki itu sambil merayu jangan dicederakan.

“Tetapi penjenayah itu tidak berpuas hati dengan hasil diperoleh dan merampas sebuah telefon tangan bernilai RM150 sebelum melarikan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 6:38 AM