WAJAH suspek yang dirakam CCTV.
WAJAH suspek yang dirakam CCTV.
Rosliza Mohamed


Kota Bharu: “Dok die (diam).... buka mesin (mesin kira-kira),” kata lelaki yang bersenjatakan parang ketika menyamun kedai runcit di Lundang di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.40 malam, lelaki yang memakai topi keledar dan topeng muka memaksa peniaga wanita berusia 35 tahun yang berada di kaunter kedai runcit supaya mengikut arahan berkenaan.

Akibat ketakutan, peniaga itu menurut arahan lelaki terbabit sebelum dia melarikan RM2,500.

Mangsa bagaimanapun tidak dicederakan.

Suami mangsa yang mahu dikenali sebagai Wan, 36, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah, manakala isterinya yang dikenali sebagai Aida bersendirian di kedai.

“Lelaki itu menunggang Ego sebelum tiba-tiba meluru ke kedai sambil melibas parang dan memaksa isteri mengikut arahannya.

“Mesin tunai dirampas lelaki terbabit sebelum dicampak semula selepas mengambil wang,” katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku kurang lima minit dan ketika itu, ada pelanggan namun tidak berani melakukan apa-apa.

“Kebiasaan, saya ambil wang hasil perniagaan untuk disimpan sebelum Maghrib tetapi malam tadi (semalam), saya lewat ke kedai kerana berada di rumah untuk solat.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana isteri selamat,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 5:48 AM