CHRISTOPHER (kanan) meninjau di lokasi kejadian samun. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
CHRISTOPHER (kanan) meninjau di lokasi kejadian samun. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Tiga lelaki memecah masuk rumah sewa seorang peniaga wanita dan menyamun mangsa di Kampung Lapan, Bachang, di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira 5 pagi menyebabkan mangsa berusia 50-an kerugian wang tunai lebih RM4,000 termasuk mata wang asing serta barang kemas, selain trauma apabila ditahan lebih 40 minit serta diugut bunuh oleh perompak terbabit.

Malah, suspek turut mencederakan dan menyamun seorang penjual sayur yang tiba untuk berniaga pasar pagi di kawasan itu sebelum melarikan diri dengan kereta.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lee berkata, ketika kejadian dia yang cuti berniaga kedai makan terjaga daripada tidur apabila terdengar bunyi bising seperti pintu jeriji di belakang rumahnya dibuka.

Katanya, dia ternampak bayangan orang sebelum cuba mengambil kayu, namun tidak sempat apabila tiga lelaki bertopeng menyerbu masuk dan menahannya hingga cedera di mulut ketika dia meronta dan cuba melawan.

"Seorang lelaki berbadan gempal mengawal saya manakala dua lagi yang bertubuh kurus menggeledah di dalam rumah.

"Mereka juga mendesak saya beritahu di mana wang disimpan sebelum menyerkup saya dengan selimut serta mengugut bunuh saya jika tidak bekerjasama.

"Walaupun takut, saya beranikan diri mengatakan tiada duit dan merayu telefon bimbit dan kad pengenalan saya tidak diambil," katanya kepada ketika ditemui di rumahnya.

Mangsa yang tinggal sendirian berkata, selepas keadaan reda dia keluar memeriksa dan melihat penjual sayur berada di hadapan rumahnya cedera di kepala dipercayai akibat disamun dan dipukul perompak terbabit.

Katanya, penjaga pasar pagi di kampung itu kemudian menghubungi polis selepas dimaklumkan kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian samun membabitkan dua mangsa.

"Wanita itu tidak dicederakan, namun lelaki peniaga pasar pagi cedera di kepala akibat dipukul dengan kayu oleh suspek apabila cuba melawan bila begnya dirampas.

"Mangsa kini dirawat di Hospital Melaka," katanya dan kes masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 5:44 PM