Bukit Mertajam: Seorang bapa terkedu seketika selepas melihat anak perempuannya maut di hadapan mata akibat dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan dalam kejadian di Jalan Rozhan, pagi semalam.

Sebelum kejadian jam 6.55 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Lim Loo Li berusia 40-an bersama bapanya Lim Ah Kau, 74, bersama seorang lagi rakan bapanya sedang melintas jalan untuk ke sebuah stesen minyak dipercayai untuk membeli surat khabar selepas berjoging.

Namun, ketika melintas jalan, sebuah kereta Proton Satria yang datang dari arah Kulim, Kedah menghala ke Jalan Rozhan, dipercayai gagal mengelak mangsa menyebabkan dia dirempuh dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Bapa mangsa dan rakannya sempat mengelak, namun wanita berkenaan masih berada di tengah jalan menyebabkannya dirempuh Proton Satria berkenaan sebelum tercampak di atas jalan.

“Ketika itu bapa mangsa terkedu melihat anaknya terbaring di atas jalan dan usaha orang ramai membantu gagal kerana mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, suami mangsa berusia 40-an yang enggan dikenali berkata, dia bersama mendiang isteri itu baru saja berpindah dari Kedah ke rumah baru mereka di Kampung Aston, sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, mereka sekeluarga berpindah ke negeri ini untuk memulakan hidup baru dan mendiang meninggalkan dua anak iaitu seorang perempuan berusia lima tahun manakala anak bongsu lelaki berusia lapan bulan.

“Saya berasa amat sedih dengan pemergian isteri, namun bapa mentua lebih merasai kehilangannya berikutan dia melihat sendiri anaknya itu dilanggar kenderaan berkenaan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:38 AM