Banting: “Saya bernasib baik kerana tidak berada di dalam lori ketika kebakaran mendadak berlaku,” kata pemandu lori yang terbabit dalam kebakaran di Jalan Klang- Banting, Batu 9, Telok Panglima Garang di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, P Ravindran, 42, sedang menunggu giliran untuk memasuki kawasan kilang berhampiran.

Menurutnya, hanya empat lori dibenarkan masuk ke kawasan kilang dalam satu masa dan dia mengambil keputusan untuk keluar dari lori sementara menunggu giliran.

“Saya sudah mematikan enjin lori 15 minit sebelum mendapati bahagian kepala lori mula berasap dan api menyambar bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang.

“Orang ramai serta kakitangan kilang bertindak pantas memadamkan api menggunakan alat memadam kebakaran milik kilang berkenaan,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting Penolong Penguasa Bomba Mohd Jaslizad Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.54 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:35 AM