GAMBAR berlatar belakang pantai Pantai Miami, Batu Feringghi.
GAMBAR berlatar belakang pantai Pantai Miami, Batu Feringghi.
THULAASHI menunjukkan kad ucapan selamat hari jadi yang dihantar rakan-rakannya dari luar negara.
THULAASHI menunjukkan kad ucapan selamat hari jadi yang dihantar rakan-rakannya dari luar negara.
Oleh Muhd Izawan Baharin

Georgetown: “Seorang rakan dari Scotland menghadiahkan sebuah mikroskop pada hari jadi saya yang ke-10 pada 4 Disember lalu,” kata S Thulaashi yang pernah digelar sebagai ‘bayi ajaib’ kerana terselamat selepas dihanyutkan ombak besar ketika tsunami melanda kawasan Pantai Miami, Batu Feringghi, di sini, sepuluh tahun lalu.

Ketika tsunami melanda pada 26 Disember 2004, Thulaashi yang berusia 22 hari dihanyut ombak besar, tetapi terselamat selepas ditolak semula ke pantai dalam keadaan masih tidur atas tilam menyebabkan dia secara tiba-tiba menjadi tumpuan media termasuk antarabangsa.

Dalam kejadian jam 1.15 petang itu, Thulaashi sedang tidur di sebuah bilik di belakang kedai makan sebelum dihanyutkan ombak besar bersama tilamnya.

Kira-kira 15 minit kemudian, dia ditolak semula ke pantai tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Thulaashi berkata, dia tidak tahu apa-apa ketika kejadian, namun peristiwa itu menyebabkan dia mendapat ramai rakan termasuk dari Scotland dan Australia.

“Setiap kali sambutan hari jadi, saya akan menerima pelbagai kad ucapan dan hadiah. Saya mendapat mikroskop kali ini kerana pernah memberitahu saya bercita-cita menjadi saintis,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun kerap mendengar pelbagai kisah mengenai bencana tsunami yang melanda negara setiap kali tiba tarikh 26 Disember, dia tidak pernah rasa bimbang dengan laut.

“Saya membesar dan tinggal di kawasan pantai. Ia adalah tempat yang indah serta menyeronokkan,” katanya.

Sementara itu, bapanya, A Suppiah, 65, berkata, anaknya itu umpama membawa rezeki kepada keluarganya.

“Ramai juga pelancong yang menghadiahkan pelbagai barangan kepada kami seperti ketuhar jika mereka mendapati ada yang kurang sehingga ada kalanya saya terpaksa menolak.

“Mereka juga bergotong-royong menghias kedai makan ini malah ramai dalam kalangan pelancong menjadi pelanggan tetap kami,” katanya.

Suppiah berkata, kejadian yang menimpa 10 tahun lalu cukup menakutkan dan sentiasa berdoa ia tidak akan berulang lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:04 AM