ANGGOTA kastam memeriksa rokok seludup yang ditemui dalam kotak polisterin dalam serbuan ke atas premis perniagaan di Pasir Gudang, semalam.
ANGGOTA kastam memeriksa rokok seludup yang ditemui dalam kotak polisterin dalam serbuan ke atas premis perniagaan di Pasir Gudang, semalam.
Oleh Isma Ismail dan Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuktikan kesungguhan mencegah kegiatan jual beli rokok seludup dengan memperhebatkan operasi di seluruh negara termasuk kawasan kampung walaupun sudah penghujung 2014.

Di Johor, pekerja kedai runcit yang panik dengan kehadiran beberapa anggota kastam kelam-kabut lari selepas membuang puluhan kotak rokok seludup ke dalam longkang di belakang premis di Jalan Mangga 7, Taman Kota Masai, semalam.

Bagaimanapun, tindakan membuang rokok seludup itu ke dalam longkang kira-kira 50 meter dari premis berkenaan dikesan anggota kastam sebelum menahannya.

Anggota kastam menemui semula kotak rokok bertaburan apabila kotak polisterin yang digunakan untuk mengisi rokok seludup terbalik.

Dalam pemeriksaan jam 1 petang itu, puluhan kotak rokok jenama John dan Gudang Garam dirampas, manakala pekerja premis warga Indonesia berusia 24 tahun ditahan kerana dipercayai menjual rokok seludup.

Berikutan serbuan Op Outlet itu, lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menjual, menyimpan atau memiliki rokok seludup.

Sabit kesalahan dia boleh didenda sehingga 10 kali ganda nilai barang dan penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Di Melaka, pihak JKDM merampas 32 karton rokok seludup jenama John, Gudang Garam dan Canyon ketika serbuan di kedai kopi di Batu 7, Jalan Batang Tiga di Kampung Bukit Rambai.

Sementara di Negeri Sembilan pula, seorang lelaki lingkungan 40-an an ditahan kastam selepas rokok seludup jenama John dan Gudang Garam ditemui di restorannya di Jalan S2 B1, Green Technology Park dekat Seremban.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili berkata, kerjasama semua pihak diperlukan untuk memerangi aktiviti penjualan rokok seludup daripada berleluasa.

“Selain menyalahi undang-undang, rokok tidak sah mempunyai risiko dua kali ganda lebih bahaya dengan kandungan bahan kimia beracun seperti arsenik, kadmium, tar dan nikotin lebih tinggi daripada paras dibenarkan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 8:42 PM