SEORANG peniaga berusia 40-an ditahan kerana memiliki tiga karton rokok seludup di  premis di Jalan Telaga Air, Butterworth.
SEORANG peniaga berusia 40-an ditahan kerana memiliki tiga karton rokok seludup di premis di Jalan Telaga Air, Butterworth.

Kuala Lumpur: Ops Outlet terus diperhebat di seluruh negara dalam usaha membanteras penjualan rokok seludup terutama dalam kalangan peruncit yang sengaja menjual barangan berkenaan bagi mendapat keuntungan mudah.

Dalam ops yang dijalankan semalam dan kelmarin di Pelabuhan Kelang, Selangor, Butterworth, Pulau Pinang dan Port Dickson, Negeri Sembilan, dua peniaga lelaki ditahan manakala beberapa bungkus rokok seludup jenama Johan dan Gudang Garam turut dirampas.

Berdasarkan operasi berterusan yang dijalankan anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendapati peniaga sudah mula ‘khuatir dan takut’ untuk menjual rokok seludup berkenaan selepas JKDM bertegas untuk memastikan mereka yang ditahan kerana memiliki bahan itu dikenakan hukuman penjara dan denda maksimum.

Ini jarang berlaku sebelum ini. Tindakan reman sebaik ditahan dan segera didakwa di mahkamah agak berkesan mengekang kebanjiran rokok seludup di negara ini. Malah, JKDM juga sentiasa memastikan tahun ini iaitu 2014 adalah tahun membanteras rokok seludup.

Selain Ops Oulet, JKDM juga turut mengadakan Ops Pacak dan Ops Puntung dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha membanteras kegiatan menyeludup dan membeli rokok seludup ke tahap minimum.

Sekalipun operasi ini akan memakan masa namun ia membantu menyedarkan peniaga terutama peniaga runcit untuk tidak sesekali menjual rokok seludup kerana hukuman penjara dan denda menanti mereka jika didapati bersalah.

Dalam operasi kelmarin di sebuah premis di Lorong Bunga Melor, Persiaran Seri Junjung, Pelabuhan Kelang, seorang lelaki warga Indonesia ditahan kerana memiliki 30 kotak rokok seludup dalam premisnya.

Lelaki itu kemudian dibawa ke pejabat JKDM untuk siasatan lanjut sebelum didakwa di mahkamah.

Operasi sama di sebuah premis di Jalan Telaga Air, Butterworth pula, seorang peniaga lelaki berusia 40-an ditahan kerana memiliki tiga karton rokok seludup jenama John dan Gudang Garam.

Berdasarkan operasi yang dijalankan, peniaga yang masih berdegil dan terus menjual rokok seludup didapati tidak menyimpan rokok itu dalam jumlah yang banyak kerana takut dirampas jika JKDM menyerbu premis mereka.

Sementara itu, sejak 2 Januari hingga 12 Ogos lalu, JKDM sudah menyerbu 4,317 premis di seluruh negara yang disyaki terbabit dalam penyeludupan, pengedaran dan penjualan rokok seludup.

Daripada jumlah itu, 1,444 premis didapati menjual rokok seludup dan 952 peniaga ditahan. Seramai 455 peniaga didakwa di mahkamah dan kebanyakan mereka didapati bersalah serta dikenakan hukuman penjara dan denda. Keseluruhan rokok yang dirampas adalah berjumlah 190 juta batang.

Sejak Ops Outlet dijalankan secara agresif dan besar-besar, jumlah penyeludupan rokok seludup menunjukkan pengurangan yang ketara. Lima jenama rokok seludup yang paling banyak di pasaran ialah John, Gudang Garam, canyon, U2 dan Era.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 4:59 AM