Gua Musang: “Sejak petang semalam (kelmarin), saya bersama tujuh pekerja terpaksa tidur dalam kenderaan dan menahan lapar kerana terperangkap,” kata Yap Yong Poh, 50, seorang tauke balak yang terperangkap di dalam hutan hampir 18 jam akibat air sungai yang naik mendadak dalam kejadian di Kampung Perasu, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, dua kenderaan dinaiki mereka yang dalam perjalanan pulang dari hutan berhampiran Gunung Rabung, di sini, terperangkap selepas air sungai naik secara mengejut berikutan hujan lebat.

Dalam tempoh itu, semua mangsa terpaksa menahan lapar berikutan kehabisan bekalan makanan.

Bagaimanapun, Yap dan pekerjanya berjaya diselamatkan pada jam 10 pagi, semalam, oleh sepasukan empat anggota penyelamat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Mengimbas kejadian itu, Yap berkata, dia memasuki hutan berkenaan bersama pekerjanya sejak awal pagi untuk menjalankan kerja-kerja pembalakan.

Katanya, dalam perjalanan pulang, mereka tidak dapat menyeberang sungai berikutan paras air sungai naik mendadak berikutan hujan lebat sejak awal pagi.

“Pada mulanya kami merancang untuk menunggu sehingga air sungai surut, namun sehingga pagi tadi (semalam), keadaan masih tidak berubah, malah semakin buruk.

“Dalam tempoh itu, kami terpaksa menahan lapar kerana kehabisan bekalan makanan selain terpaksa tidur di dalam kenderaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Yap berkata, melihat keadaan masih tidak berubah, dia kemudian menghubungi pasukan penyelamat untuk membantu mengeluarkan mereka dari hutan itu.

Dalam kejadian berasingan, seorang warga emas, Mat Zain Hassan, 64, turut terperangkap dalam banjir ketika menghantar makanan kepada pekerjanya di ladang sawit di Tanah Rancangan Felda Perasu, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Pegawai JPAM Gua Musang Mohd Yussalmi Mohd Yusoff berkata, pihaknya menghantar empat anggota bersama sebuah bot dan pacuan empat roda bagi melakukan tugas menyelamatkan mangsa terperangkap banjir.

“Sebaik menerima panggilan kecemasan itu, kami bergegas ke tempat kejadian dan mengambil masa sejam untuk menyeberangi sungai.

“Alhamdulillah, operasi menyelamat berjalan lancar dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 9:04 AM