SEORANG mangsa terpaksa diusung rakan.
SEORANG mangsa terpaksa diusung rakan.
SEBAHAGIAN 46 mangsa yang berjaya diselamatkan.
SEBAHAGIAN 46 mangsa yang berjaya diselamatkan.
Oleh Omar Osman

Sungai Petani : Sekumpulan 46 warga Myanmar dan Bangladesh ditemui dalam keadaan kelaparan, manakala seorang daripada mereka turut patah kaki ketika cuba melarikan diri dari sebuah rumah yang menjadi tempat kurungan sebelum berjaya diselamatkan pihak berkuasa, awal pagi semalam.

Semua warga Myanmar dan Bangladesh berusia antara 20 dan 40-an itu dipercayai dikurung dua hari hingga sebulan dan hanya diberi makan nasi dengan kacang dal serta bawang untuk mengalas perut.

Dalam soal siasat awal, mereka mendakwa diculik dari Myanmar dan Bangladesh oleh anggota sindiket penyeludupan manusia sebelum dibawa ke satu tempat dengan tangan diikat dan mata ditutup lalu dihumban ke dalam bot untuk dibawa ke Thailand sebelum memasuki negara ini dan ditempatkan di rumah dua tingkat di Taman Sejati, di sini.

Ada warga asing itu yang cuba melarikan diri, tetapi gagal menyebabkan mereka dipukul dan tidak diberi makan.

Bagaimanapun, kegiatan yang dilakukan seorang lelaki tempat berusia 40-an dan dua warga lelaki warga Bangladesh berusia 30-an terbongkar selepas anggota polis yang melakukan rondaan menemui sebuah kereta dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan di kawasan perumahan berkenaan, kira-kira jam 5 pagi.

Sebaik melihat kehadiran pihak berkuasa, mereka cuba melarikan diri menyebabkan dikejar anggota polis sebelum berjaya ditahan berhampiran sebuah hotel, di sini.

Sumber berkata, hasil soal siasat, ketiga-tiga suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah teres dua tingkat dan sebaik pintu rumah itu dibuka, terdapat sejumlah warga Myanmar dan Bangladesh yang sedang tidur dalam keadaan bergelimpangan di ruang tamu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:23 AM