LELAKI warga Nigeria patah kaki kanan selepas terjun dari tingkat tiga sebuah pangsapuri di Kepong untuk melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa dalam Op Flora, awal pagi hari ini. FOTO ihsan polis.
LELAKI warga Nigeria patah kaki kanan selepas terjun dari tingkat tiga sebuah pangsapuri di Kepong untuk melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa dalam Op Flora, awal pagi hari ini. FOTO ihsan polis.
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI warga Nigeria patah kaki kanan selepas terjun dari tingkat tiga pangsapuri di Kepong untuk melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa dalam Operasi Flora (Op Flora), awal pagi hari ini.

Lelaki berusia 20-an itu antara 130 individu warga Afrika termasuk lima wanita serta 12 individu warga Pakistan, Indonesia, Myanmar dan Filipina yang ditahan dalam operasi yang turut dijalankan serentak di sebuah kondominium di Bukit Puchong.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, operasi dilakukan bermula 12.30 tengah malam hingga 12.30 tengah hari ini membabitkan 634 pegawai dan anggota dari JSJ Selangor; Tiger Platoon, Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA); JSJ Bukit Aman; Pasukan Gerakan Udara, Bukit Aman; Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor selain 12 anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor.

“Sebanyak 61 unit rumah dan 117 individu diperiksa di pangsapuri di Kepong, Aman Puri membabitkan 100 individu warga Afrika selain 17 warga asing dari Pakistan, Indonesia, Myanmar dan Filipina, manakala 33 unit rumah diperiksa merangkumi 65 lelaki warga Afrika dan 2 lelaki Bangladesh di sebuah kondominium di Bukit Puchong.

“Daripada jumlah itu, kami menahan 96 individu di pangsapuri di Kepong membabitkan 79 lelaki dan lima wanita warga Nigeria dan 12 warga asing dari Pakistan, Indonesia, Myanmar dan Filipina.

“Seramai 38 lelaki warga Nigeria serta dua lelaki Bangladesh pula ditahan di kondominium di Bukit Puchong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fadzil berkata, semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1953 kerana tiada dokumen perjalanan.

Beliau berkata, tangkapan turut dibuat terhadap empat lelaki dan seorang wanita warga Nigeria di pangsapuri di Kepong kerana disyaki terbabit dalam sindiket ‘love scam’.

“Sebanyak tiga komputer riba dan enam telefon bimbit dirampas dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

“Selain itu, seorang lelaki warga Nigeria cuba melarikan diri ketika pemeriksaan dilakukan dengan terjun dari tingkat tiga pangsapuri di Kepong. Tindakan itu menyebabkan lelaki berkenaan patah kaki dan dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan berikutan peningkatan masalah sosial dan jenayah membabitkan warga Afrika di negeri ini sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, operasi itu bagi mengesan dan mendapatkan maklumat mengenai suspek warga Afrika yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah terutama penipuan di negeri ini.

Katanya, selain penipuan, pihaknya mengesan terdapat kejadian samun bersenjatakan parang dilakukan warga Afrika dengan lima kes dilaporkan di Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 4:15 PM