WARGA asing yang diselamatkan selepas dikurung dalam sebuah rumah di Taman Sejati Indah, Sungai Petani. Foto Omar Osman
WARGA asing yang diselamatkan selepas dikurung dalam sebuah rumah di Taman Sejati Indah, Sungai Petani. Foto Omar Osman
Oleh Omar Osman


Sungai Petani: Polis berjaya menyelamatkan seramai 46 warga Myanmar dan Bangladesh yang dikurung dalam sebuah rumah di Taman Sejati Indah, di sini, pagi tadi.

Serbuan dilakukan kira-kira 5 pagi oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda berikutan penahanan tiga lelaki sebelum itu.

Sumber berkata, ketiga-tiga lelaki yang dilihat mencurigakan dalam sebuah kereta itu cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan berhampiran sebuah hotel, di sini.

"Hasil penahanan seorang lelaki tempatan berusia 40-an dan dua warga Bangladesh berusia 30-an itu, anggota polis dibawa ke sebuah rumah teres dua tingkat di sebuah kawasan perumahan.

"Pemeriksaan lanjut kemudian menemui senarai 46 warga Myanmar dan Bangladesh berusia antara 20 hingga 40-an yang dikurung antara dua hari hingga sebulan di dalam rumah terbabit," katanya.

Katanya, kesemua suspek dan warga asing berkenaan dibawa ke IPD Kuala Muda untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 11:18 AM