MAS IMRAN (kiri) membantu Suyati dan anaknya memilih baju, semalam.
MAS IMRAN (kiri) membantu Suyati dan anaknya memilih baju, semalam.

Kulaijaya: “Saya amanah mengurus sejumlah sumbangan wang tunai diperoleh ini termasuk memastikannya ia akan digunakan sepenuhnya untuk keperluan tiga anak yang bakal menjalani pembedahan tulang belakang nanti.

“Kami menghargai dan berterima kasih kepada pihak yang ikhlas membantu kami termasuk mengunjungi kediaman kami bagi menyalurkan bantuan dan memberi sokongan moral,” kata ibu tunggal, Suyati Aryo Sadi, 43.

Suyati berkata, selepas kisah empat anak kurang upayanya didedahkan, keluarganya menerima panggilan telefon dan SMS daripada puluhan individu yang prihatin.

“Saya juga dihubungi Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) menyatakan mahu membantu membuat permohonan bantuan kewangan dengan pihak berkaitan memandangkan arwah suami adalah kakitangan kerajaan.

“Ia memberi semangat kepada saya dan anak untuk menempuhi dugaan ini,” katanya yang menambah kos pembedahan tiga anaknya dijangka mencecah RM100,000.

Suyati berkata, sumbangan kewangan diperoleh itu akan digunakan untuk menampung kos tambang bas dan perbelanjaan harian anaknya ketika ke pusat perubatan berkenaan.

Menurutnya, tiga daripada empat anaknya dijadualkan menjalani pembedahan tulang belakang awal Januari depan.

“Anak menjadi keutamaan dan saya akan berjimat menggunakan wang sumbangan orang ramai ini,” katanya selepas menerima sumbangan barangan elektrik dan pakaian bernilai RM1,000 daripada Pasaraya Econsave Kulaijaya, semalam.

Sementara itu, Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Mas Imran Adam berkata, pihaknya tersentuh dengan kehidupan dialami keluarga Suyati.

Menurutnya, diharapkan sumbangan berkenaan mampu meringankan beban keluarga itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 8:48 AM