Sungai Besar: “Saya terhidu bau busuk seperti bangkai dan mencari punca bau berkenaan di tali air Parit 9 Timur sebelum menemui dua objek terapung yang disangka sampah, tetapi sebenarnya dua mayat.

“Ketika itu saya hanya ternampak bentuk telinga manusia yang dihurungi lalat,” kata pengawal keselamatan Mohd Sarbaini Kamarul Baharin, 45, yang menemui pasangan kekasih itu jam 8 pagi semalam.

Mohd Sarbaini yang juga pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Seri Bahagia (SKSB) Parit 9, berkata, dia menemui mayat pasangan berkenaan dalam keadaan berpelukan manakala motosikal yang mereka naiki berada kira-kira 50 meter dari lokasi mayat.

Menurutnya, dia bersama rakan setugas Mohd Hizat Saringan, 22, kemudian menghubungi polis.

“Pada mulanya saya sangka objek terapung itu sampah, tetapi selepas diamati dan ternampak bentuk telinga yang dihurungi lalat baru saya sedari ia mayat manusia,” katanya ditemui di lokasi kejadian semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan berpelukan kerana dipercayai mahu saling menyelamatkan antara satu sama lain.

“Menurut waris, mangsa wanita mengalami penyakit sawan sejak kecil dan dicam berdasarkan penemuan beg tangan, botol air dan baju di lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, selepas menerima laporan kira-kira jam 9 pagi Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dikejarkan ke tempat kejadian dan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut memberi bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 9:22 AM