SRI Lanka memulangkan semula 242 kontena ke Britain yang mengandungi sisa buangan berbahaya termasuk bahagian tubuh badan manusia rumah mayat. FOTO AFP
SRI Lanka memulangkan semula 242 kontena ke Britain yang mengandungi sisa buangan berbahaya termasuk bahagian tubuh badan manusia rumah mayat. FOTO AFP
AFP

Colombo: Sri Lanka mula menghantar semula 242 kontena ke Britain yang mengandungi sisa buangan berbahaya termasuk bahagian tubuh badan manusia rumah mayat.

Ia berjaya dilakukan selepas dua tahun pertarungan di mahkamah membabitkan aktivis alam sekitar.

Beberapa negara Asia dalam beberapa tahun ini menolak longgokan sampah antarabangsa dari negara kaya dan tidak lagi menerima pengiriman sampah tidak diingini dalam usaha mempertahankan negara daripada dijadikan 'tong sampah' oleh negara lain.

Sebanyak 20 kontena sisa perubatan yang merangkumi bahagian badan dari bilik mayat, dimuatkan ke dalam MV Texas Triumph dan 65 lagi akan dihantar dalam tempoh seminggu, kata jurucakap kastam Sunil Jayaratne.

"Baki akan dihantar sebaik kapal tersedia," katanya.

Mahkamah rayuan Sri Lanka dua minggu lalu memerintahkan pengiriman semula sisa bio dari hospital dan sampah plastik yang diimport melanggar peraturan perkapalan tempatan dan antarabangsa.

Import itu tiba antara September 2017 dan Januari 2018 dan Pusat Keadilan Alam Sekitar (CEJ) telah meminta mahkamah untuk menolaknya.

Kastam tidak memperincikan jenis sampah, tetapi pegawai kerajaan mengatakan ia termasuk kain dan bahagian tubuh bilik mayat.

Pada September lalu, 260 tan sampah berasingan dalam 21 kontena dihantar kembali selepas Britain bersetuju untuk mengambilnya semula.

Pihak berkuasa tempatan menemui sampah baru selepas tindakan undang-undang dimulakan terhadap 242 kontena yang ditahan di pelabuhan Colombo dan kawasan perdagangan bebas dekat ibu kota.

Kastam Sri Lanka menyatakan bahawa semua kontena dibawa masuk ke negara itu melanggar undang-undang antarabangsa berkaitan pengiriman sisa berbahaya, termasuk plastik.

Siasatan Sri Lanka tahun lalu berkaitan hampir 3,000 tan sampah berbahaya yang diimport secara haram mendapati pengimport telah menghantar semula sekitar 180 tan ke India dan Dubai pada 2017 dan 2018.

Selain Sri Lanka, Filipina, Indonesia dan Malaysia juga telah mengembalikan beratus-ratus sampah bekas ke negara asalnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 6:30 AM