Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Objek terapung di permukaan sungai yang disangkakan bungkusan sampah rupanya mayat seorang lelaki.

Mayat lelaki berpakaian lengkap itu dijumpai Samsudin Omar, 64, di tebing sungai Kampung Surau Kota, di sini, pada jam 9 pagi tadi ketika sedang mengail udang.

Warga emas itu berkata, dia ke sungai terbabit pada jam 8.30 pagi bersama seorang rakan.

"Tidak lama kemudian, saya ternampak satu objek timbul di permukaan sungai kira-kira 100 meter dari lokasi saya mengail dan menyangkakan ia bungkusan sampah.

"Berasa tidak sedap hati, saya memanggil dua pemancing yang sedang memancing di atas bot tidak jauh dari kami dan meminta mereka mendekati 'sampah' itu untuk mengenal pasti apa sebenarnya objek berkenaan.

"Sebaik mendekati dan memastikan objek itu adalah mayat seorang lelaki, saya memberitahu mereka agar jangan menyentuh sebaliknya terus hubungi pihak polis," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Samsudin berkata, menurut pemancing terbabit, mayat berkenaan berbau dan berada dalam keadaan terapung disebabkan air sungai pasang.

Menurutnya, sejak tiga tahun berulang-alik ke lokasi terbabit untuk mengail udang, itu kali pertama dia berdepan dengan penemuan mayat.

Mayat itu kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk proses bedah siasat.

Peniaga gerai dikenali sebagai Che Mi, 50-an, berkata, dia terdengar jeritan orang ramai yang memberitahu ada mayat di tebing sungai tidak jauh dari lokasi gerainya.

"Saya segera turun ke tebing dan ternampak mayat seorang lelaki yang berpakaian lengkap tetapi sudah berbau.

"Sejak saya berniaga di sini, ini kali kedua berlaku penemuan mayat.

"Kali pertama hampir 10 tahun lalu dan saya tidak pasti mayat ini dari mana kerana setakat yang saya tahu, tiada kehilangan penduduk berlaku di sekitar kampung ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 3:56 PM
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bersama pasukan polis memeriksa mayat seorang lelaki berpakaian lengkap ditemukan terapung. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bersama pasukan polis memeriksa mayat seorang lelaki berpakaian lengkap ditemukan terapung. FOTO Nik Abdullah Nik Omar