Putrajaya: Kebanjiran pekerja asing di Malaysia kini berada pada tahap membimbangkan dan serius apabila dianggarkan 6.7 juta daripada golongan itu bekerja dalam pelbagai sektor terutama pembinaan dan perladangan.

Lebih mengejutkan, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, hanya 2.1 juta daripadanya mempunyai permit sah untuk bekerja di negara ini manakala selebihnya tidak mempunyai dokumen.

Menurutnya, kebanjiran pekerja asing gagal dibendung kerana rakyat negara ini bersikap terlalu memilih pekerjaan, selain permintaan tinggi membabitkan tenaga kerja dalam pelbagai sektor.

“Jumlah 6.7 juta pekerja asing itu adalah anggaran dibuat unit perangkaan kami, mungkin lebih ramai lagi. Anggaran ini dibuat mengikut nisbah iaitu seorang pekerja asing yang mempunyai permit dijangka membawa sekurang-kurangnya seorang pekerja tiada permit.

“Bagaimanapun itu adalah anggaran kementerian, sementara hasil pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan baru-baru ini menunjukkan jumlah berbeza iaitu berlaku peningkatan kebanjiran pekerja warga asing,” katanya selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zabidi Zainal.

Seramai 5,455 graduan menerima sijil dan diploma masing-masing dalam bidang kemahiran pada majlis konvokesyen itu.

Daripada jumlah itu, 4,516 graduan dari ILJTM Semenanjung Malaysia dan selebihnya dari ILJTM Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Richard berkata, rakyat bimbang kebanjiran pekerja asing ketika ini kerana mereka mempunyai peluang menguasai ekonomi sekiranya terus diberi peluang.

“Mungkin kini mereka menguasai bidang separuh mahir seperti pertanian dan buruh, tetapi suatu hari nanti mereka menguasai bidang profesional pula,” katanya.

Richard berkata, bagi memenuhi permintaan tenaga kerja di negara ini, pihaknya menyasarkan melahirkan 115,000 pekerja mahir dalam masa lima tahun akan datang menerusi pelbagai sektor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:08 AM