Muhyiddin Yassin (kanan) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan hari ini. FOTO BERNAMA
Muhyiddin Yassin (kanan) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan hari ini. FOTO BERNAMA
Oleh Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Majlis Pemulihan Negara (MPN) mahu proses kelulusan bagi permohonan mendapatkan pekerja asing disegerakan bagi menampung keperluan mendesak terhadap tenaga kerja berkenaan.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia boleh dilakukan dengan mengurangkan kerenah birokrasi serta mempermudah dan menambahbaik proses kelulusan terhadap permohonan daripada industri.

Beliau berkata, mesyuarat MPN hari ini dimaklumkan hanya 163 daripada 4,561 permohonan kuota pekerja asing sudah diproses sehingga kini biarpun Kerajaan pada 15 Februari lalu memberikan kebenaran permohonan pengambilan pekerja asing bagi semua sektor.

Katanya, hampir semua sektor ekonomi negara terjejas akibat Covid-19 manakala permohonan mendapatkan pekerja asing itu kebanyakannya diterima daripada sektor perkilangan dan peladangan.

"Bila kita bincang mengenai soal pekerja asing ini, ia lebih mendesak lagi. Walaupun ekonomi negara kita, kita sudah maklum mesti dibuka sepenuhnya, tidak ada halangan tetapi antara cabaran besar ialah mereka tidak mempunyai pekerja yang mencukupi untuk memastikan segala kerja dapat dijalankan dengan lancar.

"Seperti disebutkan oleh Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi tadi, waktu penularan Covid-19 tiada pekerja asing masuk membantu menurunkan buah kelapa sawit, ia rugi RM10 bilion.

"Waktu sekarang ini harga kelapa sawit cukup tinggi dan kalau masih dilewatkan dengan tidak ada pekerja asing maka menambah besar lagi kerugian kepada negara kita," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat keempat MPN, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, MPN berpandangan semua permohonan mesti dipercepatkan selain 50 peratus daripada permohonan mendapatkan pekerja asing itu diluluskan terlebih dahulu bagi memastikan industri tidak berada dalam keadaan terdesak manakala bakinya boleh diperhalusi dan diluluskan kemudian.

Beliau berkata, pihaknya berharap supaya sebahagian besar daripada proses permohonan itu dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

Katanya, sebagai langkah jangka pendek, MPN mencadangkan supaya kelulusan bersyarat boleh diberikan kepada permohonan yang sedang diproses untuk menyegerakan bekalan tenaga kerja asing kepada sektor yang terjejas.

"Dalam jangka masa panjang, majlis berpandangan isu struktural kekurangan tenaga kerja dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing perlu ditangani secara menyeluruh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 2:55 PM