DATUK Awang Hashim (tengah) bersama graduan di Majlis Konvokesyen ILJTM kali ke 25 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC). FOTO Ruwaida md Zain
DATUK Awang Hashim (tengah) bersama graduan di Majlis Konvokesyen ILJTM kali ke 25 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC). FOTO Ruwaida md Zain
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kebolehpasaran lebih 90 peratus graduan Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) membuktikan keberkesanan program Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata, ia terbukti dengan pelaksanaan program TVET secara berstruktur dan berasaskan keperluan industri di ILJTM di seluruh negara.

"Keberkesanan program TVET diterjemahkan melalui kebolehpasaran (marketability) graduan ILJTM yang melebihi 90 peratus setiap tahun sejak 2014 hingga kini.

"Bagaimanapun, peratusan kadar itu sedikit menurun kepada 85 peratus pada 2021 disebabkan tempoh pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan majlis Konvokesyen ILJTM kali ke-25 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di sini, hari ini.

Awang berkata, institusi pendidikan dan latihan TVET memberi penekanan kepada aspek praktikal bagi memastikan graduan menguasai kemahiran yang relevan dengan skop pekerjaan yang bakal diceburi.

"Pendekatan ini menjadi asas penting dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri," katanya.

Menjelang 2030 katanya, kerajaan menyasarkan peningkatan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dalam sektor ekonomi malah TVET dilihat sebagai 'game changer' atau medium yang dapat membantu mencapai sasaran itu.

"Ini berdasarkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang turut mengiktiraf TVET sebagai antara pemboleh daya yang dapat menyumbang ke arah pembentukan negara membangun yang makmur, inklusif dan mampan.

"Justeru, institusi TVET perlu ditransformasikan melalui pengenalan dan penawaran kursus baharu selari dengan perubahan teknologi semasa iaitu khususnya berkaitan teknologi digital.

"Kerajaan juga menyediakan peruntukan khas bagi melaksanakan kursus baharu dalam bidang keselamatan siber, telekomunikasi 5G dan teknologi dron di beberapa ILJTM terpilih," katanya.

Sementara itu, katanya, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pula antara projek yang bakal dilaksanakan oleh kementerian iaitu pembinaan makmal pembelajaran secara 'immersive' di ADTEC Shah Alam.

Jelas beliau, projek itu adalah inisiatif bagi menyediakan kemudahan fizikal, perkakasan dan perisian bagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknologi virtual reality (VR) dan augmented reality (AR).

"Makmal berteknologi tinggi ini turut menjadi platform pelaksanaan latihan tanpa perlu terdedah kepada risiko bahaya penggunaan mesin dan peralatan sebenar.

"Pendekatan latihan berteraskan teknologi digital ini diyakini mampu meningkatkan minat lebih ramai golongan muda menceburi bidang TVET.

"Makmal ini juga bakal menyediakan bahan pembelajaran digital yang bukan sahaja akan digunakan di ILJTM, malah boleh dimanfaatkan oleh institusi TVET di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 1:31 PM