Sim Tze Tzin (tengah) menyampaikan Anugerah Khas Pingat Emas kepada Nor Amiza. FOTO Bernama
Sim Tze Tzin (tengah) menyampaikan Anugerah Khas Pingat Emas kepada Nor Amiza. FOTO Bernama
BERNAMA

TAWARKAN pekerjaan berkualiti dan bergaji lumayan untuk menarik minat graduan dan orang muda menceburi bidang pertanian, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin.

Beliau berkata, pertanian adalah sektor yang sangat penting dan memerlukan tenaga kerja serta pakar terutama orang muda untuk melonjakkan sektor itu.

“Saya mohon pengusaha memberi peluang pekerjaan berkualiti, mereka (graduan) bukan pekerja asing atau kos buruh tetapi mereka pekerja mahir.

“Kami perlukan bakat dalam sektor ini tetapi kami perlu menarik bakat dengan bayaran lebih tinggi dan dengan pakej yang lebih baik.

“Dengan bakat dan bayaran lebih bagus, sektor pertanian akan meningkat ke tahap lebih baik,” katanya ditemui selepas Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Kesembilan di Serdang hari ini.

Sim berkata, sektor pertanian bukan saja berpotensi mencipta peluang pekerjaan tetapi juga usahawan, jika dilihat daripada nilai makanan yang perlu diimport negara iaitu RM52 bilion.

“Ini sektor yang sangat berpotensi dan masa depan cerah. Dalam masa sama memenuhi cabaran dan keperluan makanan pada masa depan,” katanya.

Seramai 1,085 lepasan diploma dan sijil daripada 14 institusi latihan pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani terbabit dalam konvokesyen hari ini.

Penerima Anugerah Khas Pingat Emas dan Anugerah Khas Ketua Pengarah Perikanan, Nor Amiza Abul Karim berkata, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang akuakultur di Akademi Perikanan Malaysia, Chendering, Terengganu selepas didorong keinginan membantu masyarakat kampung yang terbabit dalam perusahaan perikanan.

“Di kampung saya di Felda Chini Timur 1, Pekan, Pahang, ada pengusaha penternakan ikan keli dan saya nak tolong sumbang idea daripada apa yang saya belajar di akademi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 5:43 PM