ANGGOTA bomba di lokasi kejadian. Gambar kecil, keadaan bas eskpres yang terbabit kemalangan.
ANGGOTA bomba di lokasi kejadian. Gambar kecil, keadaan bas eskpres yang terbabit kemalangan.

Ipoh: “Emak ada bertanya kepada adik (anak kedua) sebelum ini sama ada dia boleh masuk syurga atau tidak selepas mati nanti. Kami tidak mengesyaki apa-apa, namun rupa-rupanya pertanyaannya itu menjadi petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selamanya,” kata Suraya Sulaiman, 40.

Suraya anak sulung kepada Zaiton Mohd Shariff, 59, maut selepas bas ekspres dinaikinya bersama 27 penumpang lain terbabit dalam kemalangan di Kilometer 246.9 Lebuhraya Utara-Selatan, semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, Zaiton yang berasal Rembau, Negeri Sembilan maut di tempat kejadian manakala dua lagi penumpang iaitu Mohd Sukairi Wan Mustapha, 39, dan Mohamad Taufiq Osman, 23, parah.

Menurut Suraya, dia bersama tiga adiknya terkejut apabila menerima perkhabaran emaknya yang dalam perjalanan pulang selepas bercuti di Pulau Langkawi terbabit dalam kemalangan sehingga meragut nyawanya.

Katanya, emaknya sangat rapat dengan anak-anak tidak menunjukkan sebarang tanda pelik sebelum pergi bercuti kecuali pertanyaannya sama ada boleh masuk syurga apabila mati nanti kepada adik.

“Dia seorang ibu yang sangat penyayang dan mengambil berat terhadap anak. Beberapa minggu lalu, emak baru saja pulang dari Kuala Terengganu dan dia sangat suka melancong.

“Ketika ingin pergi ke Langkawi, dia sangat gembira dan tidak sabar pergi bercuti di sana bersama beberapa orang saudara kami dan langsung tidak menunjukkan petanda pelik,” katanya yang ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.

Katanya, jenazah emaknya akan dibawa ke Kampung Pulau Besar, Rembau, Negeri Sembilan untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, siasatan awal mendapati bas dalam perjalanan dari Perlis ke Putrajaya itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang besi di tepi lebuh raya.

Katanya, bas berkenaan yang gagal dikawal kemudiannya melanggar belakang treler terbabit menyebabkan bahagian hadapannya remuk teruk manakala mangsa yang berada di kerusi depan dipercayai tercampak ke bahagian depan bas.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat manakala dua mangsa yang cedera dibawa ke HRPB untuk menerima rawatan.

“Mangsa yang lain termasuk pemandu bas tidak mengalami kecederaan dan pemandu bas itu kini ditahan untuk siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan(APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:17 AM