NORLIA (kiri) dan Zaiton. FOTO Arkib NSTP
NORLIA (kiri) dan Zaiton. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin

HATI ibu mana yang tidak sedih apabila sambutan Aidilfitri yang dirai tidak lagi disertai anak-anak. Apatah lagi, kini dikuatkusa pula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun depan.

Begitu juga kerinduan tak bertepi seorang ibu yang harus dipendam apabila tidak boleh menziarah pusara anak tunggalnya yang menjadi rutin biasa sebelum ini.

Inilah dirasakan dua selebriti veteran, Norlia Ghani, 71, dan Zaiton Sameon, 63, yang sebak mengenang sambutan Aidilfitri mereka kurang lengkap walaupun dirai sederhana.

Norlia berkata dia tidak kisah beraya tanpa pakaian baru, namun hatinya sangat tersentuh kerana tidak dapat berkumpul dengan semua anaknya kali ini.

"Terus-terang, sambutan Aidilfitri saya dirasakan suram kerana anak-anak tidak dapat berkumpul bersama seperti tahun-tahun terdahulu kerana masalah penularan wabak Covid-19 ini.

"Selalunya, setiap pagi Syawal pertama anak-anak akan berkumpul di rumah saya. Suasananya sangat meriah kerana anak, menantu dan cucu semua ada. Persedian juadah enak untuk mereka juga disedia penuh semangat. Tetapi, Aidilfitri kali ini persiapan langsung tiada kerana semangat yang hilang," katanya.

Norlia berkata, terlalu besar perubahan sambutan Aidilfitri kali ini yang terlakar dalam kanvas hidupnya.

Selain itu, dia juga rindu untuk keluar bekerja dengan bebas seperti dahulu. Namun, kini umpama 'mimpi sedih' yang harus ditanggung dengan pemikiran positif dan semangat kental.

Bagi Zaiton, dia akur harus memendam rindu untuk menziarah kubur anaknya, Allahyarham Azirwan Abu Bakar dan ibu bapa di kampung halaman di Rembau, Negeri Sembilan.

"Rindu saya pada arwah ibu bapa dan anak, hanya Allah SWT yang tahu. Ini kali pertama saya tidak dapat menziarah kubur mereka pada tempoh agak lama. Saya hanya mampu mengubat rindu yang makin menebal dalam hati ini dengan doa dititip buat mereka. Tidak pernah sehari pun, saya terlupa mendoakan kesejahteraan buat roh mereka," katanya.

Enggan mengenang kisah kesedihannya, Zaiton yang mesra dengan sapaan Eton berkata, kini dia bersemangat meneruskan hidup kerana mendapat sokongan banyak pihak.

Katanya, selain dorongan daripada keluarga angkat yang sangat menyayanginya, dia makin tenang kerana jiwanya terisi dengan al-Quran dan solat yang sentisa dijaga selalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 4:01 PM