WAN Mohd Nur Faiz Hilmi (tengah) melawat Rizman Hakim yang masih dirawat di HRPB, Ipoh dan dijangka menjalani pembedahan kepala, Selasa ini. FOTO L Manimaran.
WAN Mohd Nur Faiz Hilmi (tengah) melawat Rizman Hakim yang masih dirawat di HRPB, Ipoh dan dijangka menjalani pembedahan kepala, Selasa ini. FOTO L Manimaran.
Muhammad Apendy Issahak


SEORANG daripada mangsa kemalangan bas ekspres dua tingkat di Kilometer 12.5 Jalan Ipoh-Lumut di Batu Gajah, Ahad lalu masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh susulan kecederaan parah dialaminya.

Rizman Hakim Kamaludin, 18, yang berasal dari Pasir Tumboh, Kota Bahru, Kelantan itu dijangka menjalani pembedahan di bahagian kepala pada Selasa depan susulan doktor mengesan berlaku pendarahan dari hidungnya.

Ibunya, Ramlah Che Kob, 60, berkata anaknya yang menuntut di semester pertama Diploma Ukur Bangunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar itu mengalami kecederaan pada mata kiri, patah hidung dan hari ini baru boleh menjamah bubur kerana lelangit mulutnya turut cedera.

“Sudah lima hari anak saya dirawat di sini dan doktor tidak membenarkannya dipindahkan ke Kota Bahru kerana perlu pemantauan lanjut serta menjalani beberapa pemeriksaan dan rawatan susulan.

“Lagipun dijangka akan buat pembedahan Selasa depan di bahagian kepala kerana doktor ingin periksa ada darah keluar dari hidungnya,” katanya ketika ditemui di HRPB, hari ini.

Menurutnya, dia mengetahui mengenai kemalangan itu selepas menghubungi anak bongsunya daripada tujuh beradik itu kerana ingin bertanyakan sama ada sudah sampai ke Seri Iskandar atau belum.

“Saya terkejut apabila anak memaklumkan dia di hospital kerana bas terbabit kemalangan dan kemudian menghantar gambar mukanya berlumuran darah.

“Saya terus bergegas menaiki penerbangan dari Kota Bahru ke Pulau Pinang dan terus ke HRPB pada petang hari kejadian,” katanya.

Sementara itu, turut melawat mangsa hari ini adalah pihak pengurusan Ekspres Perdana iaitu syarikat bas yang terbabit dalam kemalangan berkenaan diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Mohd Nur Faiz Hilmi Wan Hamat.

Wan Mohd Nur Faiz Hilmi berkata, susulan kemalangan itu pihaknya menubuhkan Pasukan Cakna Prihatin Ekspres Perdana bagi menziarah dan memberi bantuan kepada semua penumpang terbabit.

“Setakat semalam, kami sudah ziarah lebih 10 penumpang cedera dan waris mangsa yang maut termasuk pemandu bas, manakala hari ini dari Kota Bahru, kami ke Perak untuk ziarah Rizman serta memberi sedikit sumbangan bagi meringankan beban mangsa dan keluarga.

“Kami akan cuba bantu semua penumpang dan esok akan ke UiTM Seri Iskandar untuk berjumpa semua penuntut yang terbabit dalam kemalangan itu,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan siasatan kes itu, beliau berkata, pihaknya hari ini turut memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah untuk membantu siasatan dan akan memberi kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan dijalankan termasuk kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Katanya, sejak 2009 hingga kini, kemalangan Ahad lalu adalah yang pertama dan terburuk dialami Ekspres Perdana.

Dalam kejadian 5 pagi 2 September lalu, pemandu bas, Mohamad Azizul Che Aziz, 31, dan penumpang, Munzirah Jalaludin, 20, yang juga penuntut UiTM Seri Iskandar meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kemalangan itu, manakala 35 lagi penumpang cedera termasuk tiga parah dan tiga lagi terselamat.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Penuntut UiTM, pemandu bas maut'

'2 maut, 15 cedera nahas bas ekspres'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 9:24 PM