PEKERJA kontraktor melakukan kerja pembinaan terowong Projek Langat 2 di Hulu Langat.
PEKERJA kontraktor melakukan kerja pembinaan terowong Projek Langat 2 di Hulu Langat.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


Kuala Lumpur: Lebih tiga tahun lalu bekalan air mentah di Selangor dijangka hanya mampu dibekalkan kepada penduduk dan industri sehingga 2016 saja berikutan ketiadaan sumber baru.

Sehubungan itu, Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) sebagai sumber baru dan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2) diangkat menjadi agenda terpenting Kerajaan Persekutuan, khususnya bagi memenuhi keperluan air yang kian meningkat.

Menurut Kajian Sumber Air Negara bagi tahun 2000 hingga 2050 yang disediakan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU), Skim Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor adalah pilihan terbaik bagi memenuhi peningkatan permintaan bekalan air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2025.

Skim penyaluran air mentah ini terbahagi kepada dua projek utama iaitu pelaksanaan PPAMPS dan pembinaan LRAL2 serta sistem agihan.

PPAMPS adalah projek pemindahan air mentah dari Sungai Semantan melalui terowong sepanjang 44.6 kilometer terus ke LRAL2.

Apabila siap sepenuhnya, ia dapat memenuhi permintaan air di kawasan Lembah Klang sehingga 2025.

Asasnya, binaan PPAMPS merangkumi empat komponen utama iaitu dua terowong penyaluran air mentah yang terpanjang di Asia Tenggara; Empangan Kelau; muka sauk Semantan dan stesen pam serta saluran paip Semantan.

Projek ini diklasifikasikan sebagai projek berimpak tinggi yang terowongnya adalah terowong penyaluran air terpanjang di Asia Tenggara dan ketujuh di dunia.

Sungguhpun pelaksanaan PPAMPS berjalan mengikut jadual, namun Projek Loji Rawatan Air Langat 2 mengalami kelewatan disebabkan penangguhan kelulusan daripada kerajaan negeri berhubung isu pengambilan balik tanah hak milik, penggunaan tanah rizab hutan simpan serta kelulusan arahan pembangunan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Begitupun, pada 24 Ogos lalu, Selangor menerima bekalan air mentah pertama dari Pahang menerusi PPAMPS.

Buat kali pertamanya air dari Sungai Semantan dipam apabila kapasiti Empangan Sungai Langat menurun sehingga 44.24 peratus.

Sebanyak 300 juta liter air dipam bagi proses penyaluran kali pertama dan masuk ke Sungai Langat melalui terowong outfall.

Memetik kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib, penyaluran awal air mentah itu adalah langkah mitigasi bagi mengurangkan pelepasan air dari Empangan Sungai Langat yang kini berada pada kapasiti 45.07 peratus.

Katanya, penyaluran air mentah itu membolehkan pelepasan air dari Empangan Langat dan pengepaman dari Empangan Semenyih dihentikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 8:32 AM