BERNAMA

Kuala Lumpur: Media perlu menunggu laporan penuh pasukan penyiasat diketuai Belanda mengenai tragedi MH17 dan usah sekali-kali membuat laporan berdasarkan spekulasi pihak yang mengaku sebagai ‘sumber’, kata Duta Besar Ukraine di Malaysia Ihor Humennyi.

Beliau berkata, perkara itu penting bagi mengelak timbul kekeliruan dalam kalangan orang ramai dan mengganggu penyiasatan terhadap tragedi itu yang bersifat sensitif dan serius.

“Setakat ini, penyiasatan dijalankan bersifat rahsia. Walaupun wartawan ingin segera membuat laporan, tetapi dalam kes MH17, mereka perlu tunggu dulu.

“Kerajaan Malaysia sentiasa dimaklumkan perkembangan terkini penyiasatan itu, tetapi oleh kerana ia masih dijalankan, kandungannya tidak boleh dikeluarkan,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Ditanya sama ada Malaysia sepatutnya diberi peranan dalam pasukan penyiasat bersama itu, Humennyi berkata, secara peribadi, beliau percaya Malaysia patut menjadi sebahagian daripada pasukan itu.

Selain Belanda, pasukan penyiasat bersama itu dianggotai Belgium, Ukraine dan Australia.

Ketua Polis Negara (KPN) dan Peguam Negara (AG) akan ke Belanda pada 3 Disember untuk membincangkan peranan Malaysia dalam pasukan itu.

Humennyi berkata, beliau gembira dengan perkembangan positif siasatan itu, walaupun percaya ia suatu proses panjang.

Katanya, usaha mengeluarkan serpihan pesawat MH17 dan cebisan mayat mangsa dari tempat nahas di Hrabove perlu dipercepatkan kerana perubahan cuaca bulan depan mungkin melumpuhkan keseluruhan proses mengumpul bukti.

“Baguslah apabila pasukan penyiasat diketuai Belanda mencapai persetujuan dengan puak pemisah untuk membolehkan mereka memasuki tapak nahas.

“Bagaimanapun, apabila salji bermula, tanah menjadi beku dan susah untuk mengeluarkan apapun,” katanya.

Menurut laman web kerajaan Belanda, walaupun lebih banyak serpihan pesawat MH17 dikesan dan cebisan tubuh manusia dijumpai pada 17 November tetapi keadaan keselamatan di kawasan itu terus berbahaya.

Penerbangan MH17 bersama 298 penumpang dan anak kapal sedang menuju ke Kuala Lumpur dari Amsterdam apabila ia ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:05 AM