SERPIHAN pesawat diangkut dari lokasi nahas. FOTO Reuters
SERPIHAN pesawat diangkut dari lokasi nahas. FOTO Reuters

Hrabove (Ukraine): Pekerja di kawasan kawalan pemberontak pro-Russia sudah mula mengumpulkan serpihan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 dari lokasi nahas di timur Ukraine, hari ini, empat bulan selepas ia ditembak jatuh.

Operasi ini diadakan di bawah kawalan penyiasat Belanda dan pegawai daripada Pertubuhan Kerjasama dan Keselamatan Eropah (OSCE).

Serpihan yang ditemui semula akan dibawa ke Kharkiv. Siasatan punca nahas ini akan diadakan di Kharkiv dan juga di Belanda.

Sebelum ini, Lembaga Keselamatan Belanda berkata, bahagian pesawat yang ditemui akan dibina semula di Belanda untuk mencari petunjuk baru punca nahas tersebut.

Ketua perkhidmatan kecemasan di wilayah Donetsk Alexander Kostrubitsky bekata, operasi ini boleh mengambil masa selama 10 hari.

Serpihan juga sedang dipotong kepada bahagian lebih kecil supaya lagi senang diangkut, katanya.

Kesemua 298 penumpang dan kru pesawat Boeing 777 itu terkorban apabila ia ditembak jatuh ketika penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, 17 Julai lalu.

Usaha menjalankan siasatan serta operasi pencarian ditangguh akibat peperangan di antara tentera kerajaan dan puak pemberontak.

Gencatan senjata dipersetujui September lalu namun pergelutan masih berterusan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 6:46 PM