Hague: Pasukan penyiasat antarabangsa dan Belanda mendakwa menemui serpihan dipercayai dari peluru berpandu BUK yang menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 di timur Ukraine.

Dalam kenyataan dari Pendakwa raya dan Lembaga Keselamatan Belanda (OVV) memaklumkan siasatan pihak mereka menemui beberapa serpihan yang kemungkinan dari BUK iaitu sistem peluru berpandu dari darat ke udara ditemui ketika misi pencarian bahan bukti di lokasi nahas.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada lokasi penemuan sama ada di tempat pesawat terhempas, Jurucakap pendakwa raya Belanda Wim De Bruin menegaskan beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Pesawat MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014, mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal ketika perbalahan antara puak pemisah pro Russia dan tentera Kiev.

Ukraine dan beberapa negara barat mendakwa ia dilakukan kumpulan puak pemisah pro Russia itu, tetapi disangkal kumpulan berkenaan dan sebaliknya menunding jari kepada pihak Ukraine.

Sekumpulan pasukan penyiasat antarabangsa membabitkan pakar dari Belanda, Ukraine, Malaysia, Australia, Britain, Amerika Syarikat dan Russia bermesyuarat di The Hague untuk membincangkan draf laporan Lembaga Keselamatan Belanda mengenai punca sebenar kemalangan itu.

Sementara itu, kenyataan bersama Lembaga Keselamatan Belanda dan pasukan penyiasat antarabangsa mendakwa serpihan itu masih dalam siasatan dan dipercayai dapat membantu memberikan maklumat tambahan pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat berkenaan.

“Pasukan Penyiasat Antarabangsa ini mendapatkan bantuan daripada pakar forensik dan pakar senjata,” katanya.

Pasukan penyiasat menegaskan, pada ketika ini, mereka tidak boleh membuat kesimpulan serpihan senjata ini terbabit dalam insiden pesawat berkenaan.

Russia sebelum ini menyarankan kepada Lembaga Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan tribunal antarabangsa untuk mencari dalang sebenar kejadian.

Negara yang terbabit sedang giat menjalankan pendakwaan walaupun tiada suspek yang dapat dikenal pasti ataupun ditahan.

Lembaga Keselamatan Belanda dijangka mengeluarkan keputusan siasatan berhubung punca dan pihak terbabit dalam insiden berkenaan Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 9:23 AM