ADHA menyelamatkan kucing miliknya dan kenalan di Kampung Seberang Batu Badak. FOTO Ahmad Ismail
ADHA menyelamatkan kucing miliknya dan kenalan di Kampung Seberang Batu Badak. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


Segamat: Pengalaman gagal menyelamatkan beberapa kucing peliharaan semasa meninggalkan rumah di Kampung Seberang Batu Badak, di sini, akibat banjir Mac lalu menyebabkan Adha Abdullah nekad meredah air mencari haiwan itu, Jumaat lalu.

Adha, 17, berkata, dalam kejadian kelmarin, dia meredah air yang naik mendadak setinggi 0.5 meter bagi menyelamatkan kucing peliharaan kerana tidak mahu peristiwa Mac lalu kembali.

"Saya meredah banjir untuk selamatkan kucing kami dan kenalan namun hanya beberapa saja selamat, sebahagian besar mati lemas, kelaparan dan kesejukan akibat dilanda arus deras air bah," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, dia memahami tugas pihak bomba dan penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang tidak menang tangan menyelamatkan manusia dan harta benda.

"Jadi tidak ada salah saya turut membantu sama menyelamatkan nyawa kucing," katanya.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemerih itu, semua kucing diselamatkan itu kini menumpang di rumah rakan dan kenalan.

"Saya bersyukur kerana kucing kami dan kenalan itu mampu diselamatkan awal. Mungkin bagi sesetengah orang kucing hanyalah haiwan, tetapi bagi kami, mereka sebahagian daripada haiwan berkeluarga mempunyai zuriat," katanya.

Sementara itu, penduduk, Nur Sholihah Raja Shahrin, 29, berkata, dia tidak teragak-agak membawa kucingnya menaiki bot penyelamat kerana tidak mahu dianggap mementingkan diri.

"Tentunya keutamaan ketika itu hanya mahu menyelamatkan ahli keluarga namun saya mahu ambil tanggungjawab menyelamatkan nyawa kucing juga.

"Saya minta pasukan penyelamat membawa ahli keluarga saya dulu sementara saya memastikan keselamatan kucing.

"Saya tabik pada pasukan penyelamat yang tidak kisah saya membawa kucing bersama walaupun saya berasa serba salah, tetapi syukur kami sekeluarga termasuk kucing dapat dibawa ke tempat selamat," katanya.

Suri rumah itu berkata, keluarganya ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Batu Badak, di sini, manakala kucingnya menumpang di rumah rakan di sekitar kampung berhampiran.

"Saya tidak mahu membawa kucing ke tempat PPS kerana mengganggu keselesaan mangsa lain.

"Lagipun saya risau kucing buang najis merata-rata dan buat bising, sebaiknya saya perlu mengasingkannya daripada orang ramai demi menjaga sensitiviti," katanya.

Nur Solihah berkata, dia berharap ada sukarelawan menyediakan klinik haiwan bergerak yang menyediakan rawatan percuma dan makanan untuk haiwan terjejas banjir.

"Ketika musim bah mungkin ada haiwan tidak sihat kerana terkesan penyakit bawaan air dan boleh menerima rawatan di klinik bergerak itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 1:39 PM