Tan Sri Khalid Abu Bakar

Salam Sabtu buat pembaca budiman. Sepertimana umum sedia maklum, YAB Perdana Menteri memperkenalkan pendekatan Lautan Biru atau Blue Ocean Strategy pada 2009, dengan mewujudkan Sidang Kemuncak Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS Summit).

Ia bertujuan mengurangkan jurang sempadan antara kementerian dan agensi awam serta swasta dan antara penggubal strategi dan pelaksana ke arah melaksanakan perubahan yang berupaya mencapai hasil yang berimpak tinggi dengan kos yang rendah, dilaksanakan dengan cepat serta berkemampanan mencapai sasaran yang direncanakan.

Strategi ini melihat kepada kesan masa hadapan dengan langkah untuk bergerak jauh daripada pendekatan tradisi, kepada pendekatan yang mampu meningkatkan produktiviti atau perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat.

Salah satu daripada inisiatif di bawah NBOS ini yang bertujuan menjaga kesejahteraan masyarakat ialah Go-To-Safety-Point (GTSP) yang dilancarkan pada 18 Mac 2013 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong, pada masa itu.

Tujuan utama GTSP ini untuk mewujudkan satu tempat selamat di mana orang awam boleh mendapatkan bantuan sewaktu dalam keadaan kecemasan.

Bagi tujuan berkenaan, stesen minyak dipilih sebagai rakan kolaborasi Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pada 2013 semua 560 stesen minyak Petron menjadi rakan kolaborasi GTSP dan diikuti Shell pada 2014 (960 stesen), BHP pada 2015 (11 stesen di Lembah Klang daripada 330 stesen) dan Petronas pada 2016 (1065 stesen). Tahun ini Caltex sudah bersetuju menjadi rakan kolaborasi inisiatif ini.

Secara khususnya, objektif utama GTSP adalah :-

a) Membuka peluang kepada syarikat menunaikan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada masyarakat;

b) Memberi pilihan kepada orang awam untuk mendapatkan bantuan semasa dalam keadaan kecemasan;

c) Membabitkan orang awam untuk bersama-sama mengurangkan jenayah di kawasan masing-masing dan pada masa sama membantu mangsa yang berada dalam keadaan kecemasan

d) Melahirkan kesedaran dalam kalangan orang awam bahawa keselamatan tanggungjawab bersama.

Untuk menjadi rakan GTSP, kriteria yang perlu ada pada pihak pengusaha stesen minyak adalah:

a) Beroperasi 24 jam;

b) Mempunyai banyak cawangan

c) Ruang premis yang luas

d) Tidak terpencil dan menjadi tumpuan awam

e) Mempunyai kamera litar tertutup dan lain-lain ciri keselamatan premis

f) Memiliki rangkaian komunikasi yang efisien

g) Pengusaha yang profesional.

Sebagai pihak yang bertanggungjawab menjaga keselamatan mangsa, peranan dan tanggungjawab rakan GTSP adalah besar. Bantuan yang diberikan harus meliputi keupayaan menenangkan mangsa, menyediakan tempat mangsa berehat, menjaga keselesaan mangsa, melaporkan kejadian kepada polis serta menemani mangsa sehingga polis tiba.

Seandainya mangsa mengalami kecederaan, mereka hendaklah segera menghubungi hospital yang terdekat untuk mendapatkan bantuan ambulans dan menguruskan penghantaran mangsa ke hospital apabila ambulans sampai di stesen.

Bagi tujuan menjayakan inisiatif ini, Rakan GTSP dikehendaki menyediakan beberapa elemen di premis / stesen minyak yang terbabit:-

a) Pelekat logo Go-To-Safety-Point (GTSP) dipamerkan berserta strobe light/flashlight

b) De-stress corner untuk mangsa jenayah

c) Pelekat safecam partnership

d) Safety and security information board

e) Convergence point untuk elemen rondaan polis (pilihan)

f) D-button untuk kecemasan (pilihan).

Sejak dilaksanakan, inisiatif GTSP ini mencatat beberapa kejayaan yang membuktikan keberkesanannya dalam membantu anggota masyarakat yang berhadapan dengan kecemasan termasuk mangsa kemalangan jalan raya, kebakaran kereta, mangsa cuba bunuh diri dan yang memerlukan bantuan perubatan.

Sesungguhnya sikap dan tanggungjawab yang dipamerkan rakan GTSP ini akan menjadi pendorong kepada pihak korporat lain untuk melaksanakan tanggungjawab CSR bagi membantu masyarakat yang memerlukan bantuan kecemasan.

Bagi tujuan menyemarakkan lagi inisiatif ini, PDRM menjemput syarikat Caltex yang mempunyai 420 stesen minyak di Semenanjung Malaysia untuk menyertai dan menjadi rakan kolaborasi GTSP. PDRM juga sedang membuat kajian untuk memperluaskan inisiatif ini dengan membabitkan sektor swasta yang lain.

Diharapkan pihak media dapat membuat publisiti meluas mengenai inisiatif ini agar orang awam akan lebih memahami dan seterusnya menggunakan kemudahan yang disediakan di stesen minyak di seluruh negara tatkala mereka dalam kecemasan.

PDRM turut menyeru agar masyarakat dan rakan kolaborasi GTSP dapat berganding bahu dan bekerjasama dengan pihak polis untuk menangani jenayah kerana ia tanggungjawab kita bersama.

‘POLIS DAN MASYARAKAT BERPISAH TIADA’

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 1:38 AM