KIT Ujian Kendiri Pantas Antigen Covid-19 buatan Malaysia. FOTO arkib
KIT Ujian Kendiri Pantas Antigen Covid-19 buatan Malaysia. FOTO arkib

Kuala Lumpur: Kit Ujian Kendiri Covid-19 digunakan sebagai ujian saringan yang dilakukan sendiri oleh individu.

Ia tidak menggantikan fungsi diagnostik realtime reverse-transcription polymerase chain reaction (RT-PCR) untuk Covid-19 tetapi mempunyai kelebihan mengesan status Covid-19 individu dengan cepat dan mudah.

Berikut ialah garis panduan pengurusan penggunaan Kit Ujian Kendiri Covid-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jenis kit

Kit Ujian Kendiri Covid-19 yang boleh digunakan adalah yang mendapat rekomendasi dari Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA). Senarai jenis kit ujian ini akan dikemaskini di laman web MDA dari semasa ke semasa.

Penggunaan kit

Kit Ujian Kendiri Covid-19 boleh digunakan untuk:

• Saringan kendiri oleh mana-mana individu yang ingin mengetahui status Covid-19;

• Individu yang mempunyai kontak dengan kes Covid-19;

• Saringan-saringan lain yang bersesuaian (seperti Pintu Masuk Antarabangsa, rentas negeri, saringan pra-pekerjaan, pra-kemasukan ke institusi tinggi dan lain-lain).

Pihak pengguna hendaklah memastikan kit yang dibeli telah mendapat kebenaran dari MDA.

Kedapatan Kit Ujian Kendiri Covid-19

a. Kit Ujian Kendiri Covid-19 boleh dibeli di farmasi atau fasiliti swasta.

b. Kit Ujian Kendiri Covid-19 dibekalkan oleh fasiliti kesihatan KKM mengikut keperluan.

Cara penggunaan Kit Ujian Kendiri Covid-19

Sebelum memulakan prosedur:

a) Membaca arahan penggunaan kit dengan teliti.

b) Memeriksa dan memastikan kit lengkap, tidak melepasi tarikh luput dan tidak rosak.

c) Mencuci tangan sebelum memulakan prosedur bagi mengelakkan kontaminasi silang.

d) Memastikan tempat melakukan prosedur ini kering, bersih dan mempunyai pengudaraan yang baik.

e) Memastikan tiada orang berhampiran bagi mengelakkan risiko jangkitan dan kontaminasi silang.

f) Sekiranya prosedur ini perlu dibantu oleh orang lain, pembantu perlu memakai sekurang-kurangnya pelitup muka dan sarung tangan bagi mengelakkan risiko jangkitan dan kontaminasi silang.

g) Prosedur tidak dilakukan di tempat awam dan tidak berada berdekatan dengan orang lain bagi mengelakkan risiko jangkitan dan kontaminasi silang.

Prosedur ujian:

a) Mengambil sampel (air liur, nasal swab dan lain-lain) secara kendiri seperti yang dinyatakan pada arahan kit (instruction kit).

b) Melakukan ujian menggunakan Kit Ujian Kendiri Covid-19 dengan cermat mengikut arahan kit.

c) Membaca keputusan pengujian dalam tempoh masa yang ditetapkan seperti yang dinyatakan pada arahan kit bagi mengelakkan keputusan yang tidak tepat.

Selepas melakukan prosedur:

a) Memastikan semua alatan kit dimasukkan ke dalam plastik dan ikat dengan sempurna.

b) Melupuskan plastik yang mengandungi kit ini ke dalam tong sampah.

c) Menjalankan disinfeksi kawasan prosedur dengan larutan disinfeksi yang bersesuaian selepas prosedur pengujian.

d) Mencuci tangan menggunakan sabun dan air selepas selesai menjalankan prosedur bagi mengelakkan kontaminasi silang.

Pelaporan keputusan

a) Semua keputusan ujian sama ada positif, negatif atau invalid perlu dilaporkan secara self-reporting ke dalam aplikasi MySejahtera.

b) Pengguna bertanggungjawab melaporkan keputusan sebenar dan tidak melakukan pemalsuan keputusan bagi mencegah implikasi jangkitan kepada orang lain.

Sekiranya keputusan ujian positif:

a) Keputusan positif wajib dilaporkan ke dalam MySejahtera (tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342]).

b) Individu diminta untuk pergi sendiri ke fasiliti kesihatan swasta, Covid-19 Assesment Centre (CAC) atau klinik kesihatan berhampiran bagi penilaian kesihatan dan tindakan seterusnya.

c) Individu ini wajib memakai pelitup muka apabila keluar dari rumah dan elakkan dari menaiki kenderaan awam.

Sekiranya keputusan ujian negatif:

a) Sekiranya bergejala, sila ke fasiliti kesihatan swasta atau kinik kesihatan untuk penilaian kesihatan.

b) Sekiranya individu berkenaan kontak kepada kes Covid-19, individu itu perlu terus menjalani kuarantin wajib sehingga tamat tempoh kuarantin.

c) Sekiranya keputusan ujian invalid, ujian perlu diulang.

Kawalan dan pemantauan kit ujian kendiri Covid-19

a) Kit Ujian Kendiri Covid-19 yang mendapat kebenaran pengimportan dan pengedaran dari MDA (Sila rujuk laman web MDA).

b) Kit ujian kendiri Covid-19 boleh dijual di farmasi komuniti berlesen dan fasiliti kesihatan yang dibenarkan oleh MDA.

c) Penjualan Kit Ujian Kendiri Covid-19 boleh dibuat dalam bentuk pek individu atau pek multi kit dan hendaklah memenuhi keperluan pelabelan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 12:36 PM